Category Archives: Islam itu Ad-Din

RUU 355 – Suatu Tinjauan

BUKAN ISLAM TIDAK WAJAR MENENTANG RUU 355 – POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA

Artikel ini diambil dari akhbar Harakahdaily dan telah dimasukkan beberapa kenyataan daripada Dr Asyraf Wajdi Dusuki



RUU 355 hanya tertakluk kepada penganut Islam yang beriman dan budiman, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukannya dalam masyarakat dan tugasnya. Semuanya bersyukur kepada Allah yang mengurniakan hidayah kepadanya nikmat Islam.

Menyedari dan merasai betapa bencana umat di zaman penjajahan dan selepasnya walaupun sudah merdeka lebih setengah abad namun Syariat Allah yang menjadi sebahagian daripada objektif rukun Islam dan iman, di mana sebenarnya pernah juga menjadi contoh paling berjaya kepada pihak lain, tiba-tiba dihalang dan dikembalikan semula seperti zaman penjajah; dengan serangan media mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam, kerana tujuan politik murahan semata-mata. Adakah mereka menjadi wakil penjajah selepas merdeka?


Aspek kehakiman menjadi rukun dalam menunaikan perintah Allah Yang Maha Adil. Maka semua penganut Islam wajib  mendukung dengan penuh harapan supaya dinaikkan taraf Mahkamah Syariah dari kedudukan yang telah diletakkan oleh penjajah dahulu. Ini termasuklah juga DYMM Raja-Raja wajib diangkat ke martabatnya, kerana kedudukan baginda menjadi ketua urusan agama Islam telah dihina oleh penjajah walaupun setelah mencapai kemerdekaan yang mencecah lebih setengah abad.


Sehingga kini Mahkamah Tinggi Syariah yang paling tinggi pun, tetapi kedudukannya lebih rendah daripada Mahkamah Majistret di peringkat daerah. 

Adapun kalangan bukan Islam sepatutnya meraikan perkara ini dan menghormati saudara mereka yang berada dalam satu masyarakat majmuk dan satu negara serta tanah air dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan urusan mereka. Jangan sengaja mencari sebab untuk menimbulkan ketegangan masyarakat majmuk dan harmoni dengan tiba-tiba menentang RUU 355 yang bertujuan menaikkan taraf Mahkamah Syariah. 

Muqadimahnya perlu menyedari kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak penganut agama lain yang diberi kebebasan, tiba-tiba menghalang penganut Islam dalam bidang berkaitan agama yang menjadi agama negara ini.

Tokoh undang-undang tersohor di peringkat dunia dan negara Al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas Peguam Negara Singapura (1966) dan Ketua Pengajian Undang-undang di beberapa universiti, juga mantan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah menulis perkara ini dalam  tajuk: “Islam Dalam Perlembagaan” dengan menegaskan:

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi  Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perlu disebutkan bahawa belum ada terjemahan Perlembagaan yang sahih di Malaysia dan terjemahan; “Islam is the religion of the Federation” yang terdapat dalam Perlembagaan diterjemahkan salah sebagai “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan”.

Oleh kerana perkataan “Islam” dan bukan “ugama Islam” yang digunakan di Perkara 3, bolehlah dihujjahkan bahawa yang dimaksudnya ialah Islam sebagai cara hidup mengikut Islam iaitu Islam sebagai Ad-Din.Dalam minit Suruhanjaya Reid melaporkan perbincangan bahawa mereka menerima Memorandum Parti Perikatan dan juga PAS (satu-satunya Parti Pembangkang di masa itu) yang mendesak supaya diletakkan Islam dalam Perlembagaan. Akhirnya mereka menerima juga kerana dalam Parti Perikatan itu ada juga MCA dan MIC daripada kalangan bukan Islam dan pihak Islam menerima juga ayat bahawa agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut masing-masing. (Sila lihat: Islam Dalam Perlembagaan oleh Prof Ahmad Ibrahim)

Berkenaan RUU 355 Al-Marhum Prof. Ahmad Ibrahim menulis:

“Pada masa sekarang bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan. Mengikut Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act, 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidangkuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $1,000 / atau kedua-duanya.

Bidangkuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada Akta tersebut dan Mahkamah Syariah diberi bidangkuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau dengan tidak lebih $5,000 atau sebat tidak lebih enam sebat atau gabungan hukuman itu. 

Bidangkuasa ini masih rendah dari bidangkuasa Majistret Kelas 1 di mana biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda $10,000 atau sebat dua belas pukulan atau gabungannya.

Keadaan ini menjadikan Mahkamah Syariah termasuk Mahkamah Tinggi Syariah lebih rendah tarafnya daripada Mahkamah Majistret.(Sila lihat Prof Ahmad Ibrahim tajuk yang sama).”

Perlu diketahui bahawa hukuman sebatannya pula bersifat mendera pesalah dengan cara yang kejam, bukan seperti hukuman Syariat Islam yang bersifat mendidik penjenayah dan masyarakat. Contohnya Hadis Rasulullah S.A.W. apabila di bawa seorang yang telah dijatuhkan hukumannya seratus sebatan kerana berzina:

فقال اضربوه حده قالوا يا رسول الله انه أضعف من ذلك ان ضربناه مائة قتلناه قال فخذوا له عثكالا فيه مائة شمراخ فاضربوه به ضربة واحدةوخلواسبيله *

مسند أحمد لأحمد بن حنبل (8/ 449)

(Sabdanya: Jatuhkan hukuman had sebatan ke atasnya (seratus sebatan). Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Dia seorang yang lemah, tidak mampu menerima hukuman itu, nanti kalau disebat seratus kali kami membunuhnya. Sabda Rasulullah S.A.W: Ambillah seberkas yang ada sejumlah seratus ranting, sebatkan dia satu kali sahaja dan bebaskan dia). 

Hadis ini membezakan hukuman sebatan Syariat Islam dengan hukuman lain dan Hukum Islam bertujuan mendidik. Ini menunjukkan gambaran yang dibawa oleh media adalah salah dan pembohongan terhadap Islam.

Al Quran dan Hadis adalah rujukan tertinggi kepada penganut Islam. Terpulang kepada agama masing-masing yang tidak dipaksa mengikut hukum Islam. Jangan kacau urusan penganut Islam. 
Apabila pihak PAS mengemukakan usul persendirian di Parlimen yang berkait RUU 355, bekerjasama dengan Umno. Ketika saya memberi peluang kepada mereka bertanya di Parlimen, tiba-tiba inilah sahaja soalan meminta penjelasan oleh YB DAP Bandar Kuching:

(1) RUU 355 membuka pintu ke arah Hukum Hudud (ada udang di sebalik batu)
(2) Mengganggu Hak bukan Islam
(3) Mengganggu Hak Sabah dan Sarawak
(4) Meretakkan Pakatan Pembangkang

Kerana masa yang dihadkan maka saya panjangkan di sini jawapannya:

1) Membuka pintu ke-arah Hukum Hudud
Hukum Hudud adalah di luar daripada tajuk RUU 355, tapi nampaknya terus dijadikan senjata untuk menentang Islam secara terbuka. Hukuman yang dinamakan Hudud adalah hukuman yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya; hanya dalam beberapa kesalahan sahaja daripada Syariat Islam yang tidak boleh diperkecilkan oleh penganut Islam. Ini kerana ianya dinaskan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah yang termasuk dalam perkara Iman, Islam dan Ihsan. 

Hudud adalah salah satu daripada tiga bahagian undang-undang jenayah hukum Syariat yang diwajibkan oleh Allah dan menjadi sepakat para ulama. Selebihnya sehingga tidak terkira banyaknya adalah mengikut kebijaksanaan manusia, mengikut konsep mendidik, bukannya mendera dalam perkara dan kesalahan lain yang terlalu banyak. 

Namun hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana banyak halangannya. Ini termasuklah di dalam perkara jenayah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, iaitu berdasarkan Senarai I Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Mengikut Perkara 76(A), Perlembagaan Persekutuan pula, ianya memerlukan Parlimen membuat suatu undang-undang (Akta) pula barulah Negeri boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perkara yang terletak di bawah kuasa Persekutuan.

Sila rujuk Perkara 75 dan Perkara 76A, Perlembagaan Persekutuan:

“75. Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

76A. (1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

(2) Walau apapun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.

Undang-undang Hudud dijadikan senjata perang psikologi oleh musuh Islam di seluruh pelosok dunia. Sepatutnya pihak bukan Islam jangan menjadi wakil selepas zaman penjajah. Namun sehingga kini masih  memasuki dalam fikiran kalangan Islam juga yang menjadi mangsa tawanan musuh dalam penjara kejahilan. Maka janganlah kalangan bukan Islam di sini menari mengikut gendang musuh itu. 

Perjalanan kehakimannya yang sukar kerana syaratnya sangat ketat. Hukumannya pula lebih ringan daripada undang-undang jenayah ciptaan manusia, tetapi kehebatannya menggerunkan masyarakat termasuk mereka yang tidak berniat melakukan jenayah (Inilah kehebatan Syariat Allah) –  (sila lihat rakaman ceramah saya di Universiti Nanyang Singapura).

PAS sedia berdailog dengan pemimpin agama bukan Islam sekiranya ada undang-undang daripada agama mereka, walaupun masih dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Adapun RUU 355 tiada kaitan dengan hukuman Hudud yang berada dalam fasal lain di bawah bidang kuasa negeri dan kesalahan jenayah yang disenaraikan di bawah Kerajaan Pusat.

2) Mengganggu hak bukan Islam

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Kesembilan daripada hak negeri-negeri telah menegaskan kebebasan beragama kepada bukan Islam yang dijamin, serta bidang kuasa penganut bukan Islam di luar daripada kuasa Mahkamah Syariat.Firman Allah:

فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡٔٗاۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٤٢ المائدة

Maksudnya: “Oleh itu kalau mereka (bukan Islam) datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah dalam kitab mereka – kalau ada) atau berpalinglah dari mereka dan kalau engkau berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Rasa tidak munasabah kalau saya menjawab kalangan yang berhujah bahawa ramailah penganut Islam akan dihukum kerana seolah-olah orang Islam akan berlumba melakukan jenayah kerana mahu dihukum. 

3) Mengganggu Hak Sabah dan Sarawak

Negara Malaysia berkongsepkan Federalisma, membahagikan bentuk kerajaan negeri dan Pusat dalam sistem pemerintahannya. Perlembagaannya menetapkan batas bidang kuasa Kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri termasuk dalam aspek kehakiman dan perundangan. 

Akta 355 yang dibuat berdasarkan Jadual 9 sebagai ‘Punca Kuasa’nya adalah berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Negeri. Kerajaan Negeri pula boleh menerimapakai (bukan secara automatik) peruntukan Akta 355 yang dipinda nanti bagi menetapkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri masing-masing. Adapun Negeri Sabah dan Sarawak juga, seperti negeri-negeri lain, mempunyai pilihan sama ada hendak menerimapakai atau tidak Pindaan Akta 355 yang dipinda itu.

Perlu diingat dari segi sejarahnya semasa Akta 355 mula dibentangkan di Parlimen pada tahun 1965,  ianya tidak ditentang oleh Ahli-ahli Parlimen Bukan Islam, termasuklah mendiang Lee Kuan Yew (MP Singapura) yang berada dalam Parlimen pada ketika itu. Pada tahun 1984 semasa Akta 355 dipinda, apabila dibawa ke Dewan Negara, RUU tersebut telah disokong oleh YB Dr James P. Ongkili (MP Tuaran) yang beragama Kristian. (sila rujuk Handsard Parlimen)

Mengapa DAP dan rakan-rakannya di abad 21 ini terlalu maju ke depan?

4) Meretakkan Pakatan Pembangkang

PAS menyertai pakatan pembangkang dengan konsisten dalam amalan politik yang wajib menghormati adab dan akhlak berpakat. Dalam Pakatan, PAS wajib teguh bersama dasar dan matlamatnya yang wajib dihormati oleh semua pihak; dalam titik persamaan yang tidak mengganggu perkara dasar dan matlamat pihak lain yang berpakat. Adapun cara campur tangan dalam urusan yang tersebut di atas adalah tidak berakhlak atau tidak bermoral mulia dalam pakatan. Lebih tidak berakhlak kalau mencuri dalam rumah PAS yang membuka pintu kepada mereka. 

Dalam sejarah pakatan dengan pihak lain, PAS tidak pernah khianat dalam perkara pakatan mengikut  batasnya, sehingga PAS yang dipecat daripada BN (1978) dan terkini DAP memecat PAS daripada PR. Walaupun PAS memberi tempoh panjang dan bersabar dalam menghadap perangai parti lain yang campur tangan dalam urusan dalaman PAS dan meredah masuk ke dalam billik rumah PAS.

5) PAS masuk BN

PAS menyertai Kerajaan Campuran dan seterusnya bersama menubuhkan Barisan Nasional setelah negara menghadapi keadaan Darurat sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Adapun DAP tidak bekerjasama di masa negara dalam keadaan darurat. PAS menerima dengan terbuka tawaran PM Kedua, Al-Marhum Tun Abdul Razak yang menerima cadangan-cadangan PAS dan sebahagian besar pemimpin dan ahli PAS menganggap kecil segala kezaliman yang berlaku ke atas pemimpin dan ahlinya yang ditahan ISA, ada yang dibuang daerah, bahkan ada yang dibunuh. Dua Kerajaan Negeri (Terengganu dan Kelantan) yang diperintah oleh PAS pernah menjadi mangsa kepungan dan tekanan Kerajaan Pusat dan rompakannya; apa yang tidak dihadapi oleh Kerajaan Singapura dalam Malaysia di bawah PAP (bapa yang melahirkan DAP) dan Kerajaan PBS di Sabah. Namun PAS meletakkan di hadapannya kepentingan negara, rakyat dan menolak keadaan “politiking” murahan yang menjadikan rakyat bawahan dalam keadaan sangat tenat, kerana Islam mengharamkan politiknya berdendam. 

Sila pihak yang menuduh itu cermin diri masing-masing, PAS tidak pelahap untuk menyertai Kerajaan BN hanya untuk meraih jawatan dalam Kabinet atau semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri laksana mi segera?  PAS adalah parti yang turun ke medan rakyat, kini mempunyai 192 Kawasan di seluruh negara dan hampir 10,000 cawangan sehingga di pedalaman yang jauh sejak zaman mengayuh sampan mudik ke hulu dan mengayuh basikal, terkini ada pula cabang penyokong kalangan bukan Islam (DHPP) yang menjadi hubungan persahabatan dengan bukan Islam. Bukan hanya berdepan komputer di meja dan berarak di jalan raya  sahaja untuk mendapat sokongan rakyat.

Akhirnya, tiada alasan undang-undang dan politik bagi menentang RUU 355 melainkan mahu bermusuh terhadap Islam dan penganutnya atau menjual diri menjadi alat kepada musuh Islam dengan harga yang sangat murah. Allah memberi panduan kepada penganut Islam bagi menghadapi cabaran ini dengan firman-Nya:

۞وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٤٦ العنكبوت 

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab (bukan Islam) melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.”

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
11 Safar 1438 /11 November 2016 – HARAKAHDAILY 11/11/2016

http://m.harakahdaily.net.my/index.php/headline/43169-bukan-islam-tidak-wajar-menentang-ruu-355


Bayaran Ceramah Agama 


Dalam kuliah zohor oleh Ustaz Amran Bollywood di tempat kerja saya, beliau ada berkongsi tentang beberapa jemputan ceramah yang beliau dapat. 
Dalam jemputan ceramah tersebut, pihak yang menjemput turut sama menyatakan jumlah bayaran yang akan diberikan kepada Ustaz Amran. Ribu-ribu jugak la bayarannya.

Ustaz Amran beritahu, mana-mana jemputan ceramah yang ada dinyatakan berapa bayarannya, beliau akan tolak. Bimbang niat bertukar daripada hendak menyampaikan ilmu kepada mengejar bayaran ceramah.

Terkejut saya mendengarnya. Ingatkan seorang Ustaz yang sering kali keluar TV hanya menerima jemputan yang bayarannya 4 angka. Rupanya tidak. Beliau lebih dahagakan jemputan yang tidak dinyatakan berapa bayarannya sebab bagi beliau, rezeki dirinya telahpun diatur oleh Allah SWT. 

Alhamdulillah. Masih ada lagi golongan agamawan yang meletakkan kepentingan mengajak orang kepada Islam melebihi bayaran yang beliau akan terima. 

Terima kasih wahai Ustaz. Isi ceramah Ustaz saya memang tak ingat tetapi tauladan Ustaz tentang rezeki itu adalah aturan Allah SWT pasti saya akan ingati sampai bila-bila.

Kuliah Zohor 25 Mei 2015

Pada hari ini Ustaz menghuraikan ayat Al -Quran dari Surah Al-An’am mengenai keengganan Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Ustaz juga menghuraikan tentang makna Iblis dan Syaitan.

Iblis adalah makhluk Allah SWT manakala Syaitan bukannya makhluk, tetapi adalah watak yang boleh terdiri dari kalangan Jin dan manusia.

Dalam ayat Al-Quran yang lain, Allah SWT ada menyebut tentang Iblis yang merupakan jin.

Khutbah Jumaat

image

Khutbah Jumaat tengah hari tadi berkisar tentang peranan setiap Muslim dalam memenangkan Islam. Khatib menyebut-nyebut dan mengingatkan jemaah bahawa tugas memenangkan Islam adalah tugas semua. Bukan hanya tugas para Ulama’, Ustaz mahupun Ustazah. Ia adalah tugas semua Muslim tidak kira apa latar belakang pendidikan, sosioekonomi dan keturunan.

Ingatlah kepada hari pembalasan nanti di mana Allah SWT akan bertanya kepada setiap daripada kita, apakah yg telah kita lakukan bagi mendaulatkan Islam. Agama yang suci, lengkap lagi tiada cacat cela. Ambillah peluang selagi ada bagi menyumbang ke arah kemenangan Islam.

Mudah-mudahan Allah SWT akan menerima segala amal kita dan mengampunkan segala amal kejahatan kita.

Mereka yang tidak perlu membaca Al-Quran

Semua orang Islam yang beriman perlu membaca Al-Quran. Tidak kiralah siapa dia, berapa usianya, apa kedudukannya, banyak mana hartanya kerana di sisi Allah SWT, bukan itu yang menjadi penentu kemuliaan kita.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar,” (Al-Hujurat:13)

Allah SWT telah menyatakan dengan jelas bahawa hanya taqwa yang akan menentukan kemuliaan kita di sisi-Nya. Salah satu jalan untuk mendapatkan taqwa ialah dengan berdampingan dengan Al-Quran yang telah Allah SWT turunkan sebagai manual hidup kita.

Apabila dikatakan manual hidup, semua orang mesti membacanya dengan teliti untuk menjalani hidup ini dengan selesa. Ibarat kita sedang belayar di lautan yang ada disediakan manual perjalanan yang serba lengkap. Ada dinyatakan dengan jelas bila hujan akan turun, bila ribut taufan akan melanda, laluan mana yang selamat. Jesteru jika kita membaca manual tersebut dengan teliti dan mengikutinya satu persatu, pasti pelayaran kita akan lebih selesa. Sebaliknya jika kita tidak membacanya dengan baik, sudah pasti kita tidak dapat mengikuti segala saranan dan panduan yang telah jelas dinyatakan. Dengan itu, pelayaran kita akan menjadi sukar bahkan mungkin karam di tengah lautan.

Bagaimana pula bagi mereka yang telah menghafal huruf demi huruf manual tersebut? Pasti lebih mudah bagi mereka kerana tidak perlu lagi membaca. Hanya perlu diulang hafalan supaya tidak lupa dan mudah untuk diaplikasikan apabila perlu.

Sama juga halnya bagi mereka yang telah menghafal Al-Quran. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuka kitab Al-Quran. Mereka hanya perlu mengulang hafalan mereka agar tidak lupa. Mereka perlu belajar pelbagai lagi ilmu supaya hafalan mereka tidak sekadar hafalan tetapi mampu digunakan sebagai panduan dalam kehidupan sehari-hari.

Saya berbangga melihat ramainya anak-anak muda yang menunjukkan minat yang tinggi untuk menghafal Al-Quran, sesuatu yang saya sendiri tidak mampu lakukan walaupun ketika di alam persekolahan dahulu, untuk menghafal sesuatu adalah mudah bagi saya.

Mudah-mudahan kita semua sentiasa berdampingan dengan Al-Quran sebagai salah satu cara kita bertaqwa kepada Allah SWT. Kalau malas membaca Al-Quran, hafallah.

Di mana letaknya pasangan kamu

Ada orang hendak kahwin sampai 4, namun sampai kini 1 isteri pun belum ada lagi. Apabila ditanya tentang kenapa saya tidak terfikir mahu kahwin lagi 1, saya hanya katakan, perkahwinan bukan segalanya tentang yang indah-indah sahaja. Ada banyak jerih pahit yang membaluti sebuah ikatan perkahwinan.

Salah faham. Keutamaan. Kewangan. Keluarga mertua. Masalah di pejabat. Kawan-kawan. Pihak ketiga. Ini adalah antara beberapa jerih pahit yang akan muncul mengganggu sebuah ikatan perkahwinan. Apabila muncul, kebijaksanaan amat diperlukan untuk menyelesaikannya.

Kalau dulu si lelaki kerap melepak di kedai mamak minum-minum dengan rakan-rakan sambil menonton bola, selepas kawin pastinya kegemaran tersebut tidak boleh dilakukan lagi. Kalau dulu berhari-hari pergi memancing, sesudah kawin pasti hobi seperti itu perlu dikurangkan kepada hanya beberapa jam. Jangan gunakan ‘hak’ sebagai ketua keluarga untuk menjadi autokratik. Segalanya ikut suka si suami. Tidak boleh begitu. Apa yang suami suka belum tentu si isteri juga suka. Berkompromilah. Jangan pinggirkan si isteri. Utamakan isteri dan keluarga melebihi kawan-kawan. Redha isteri penting untuk ke syurga nanti.

Bagi kaum hawa pula, jika sebelum berumah tangga kerap ber’window shopping’ dengan kawan-kawan sehingga berjam-jam, selepas berkahwin, hal yang sedemikian mestilah dielak. Dahulukan suami dan keluarga dalam segala hal kerana redha suami amat penting untuk si isteri ke syurga nanti. Jangan sakitkan hati suami hanya kerana mahu melakukan perkara-perkara yang kita suka. Apa yang kita suka tidak semestinya suami suka. Jadi berkompromilah.

Bukan mudah melayari bahtera rumah tangga. Si suami dan si isteri masing-masing ada kesukaan dan kehidupan sebelum berkahwin. Tidak semua kesukaan itu boleh dilakukan selepas berkahwin. Berkompromilah. Jadikan pasangan dan keluarga sebagai keutamaan dalam segala hal.

Semoga berbahagia. Bahagia di dunia adalah sesuatu yang mesti diperjuangkan. Ia tidak datang dengan sendiri.

Jadi si suami dan isteri, di manakah letaknya pasangan kamu? Selepas Allah Swt dan Rasul, adakah pasangan kamu berada selepas itu?

Akhirnya terbukti…

Kita renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.

Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.

Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.

“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”

Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang diperoleh Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.

Di sebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan diraih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka.  Melihat kepada anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10,000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.

Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “  Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.

Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir. Semoga kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13 akan datang.

“Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya.”

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11238-kemenangan-ikhwan-guna-teknologi-1400-tahun-lalu

Ramadhan 1432 H : Suatu Coretan

Ramadhan kali ini berbeza berbanding Ramadhan pada tahun-tahun sebelumnya. Kali ini Ramadhan saya sambut jauh di perantauan, di Kota Kinabalu. Segalanya berbeza. Bermula dengan waktu sahur dan berbuka yang lebih awal, selain status saya sebagai pekerja sepenuh masa, juadah di bazar Ramadhan juga berbeza berbanding dengan apa yang saya jumpai di bazar-bazar Ramadhan di Semenanjung. Mungkin kerana lidah saya telah terbiasa dengan juadah di sana maka dirasakan kurang sedap juadah di sini.

Seawal 20 Ramadhan saya tinggal sendirian di rumah sewa teman sepejabat. Mujur dia mempelawa saya untuk bermukim bersamanya sepanjang sebulan menjalani attachment di kota Kinabalu. Kalau tidak pasti Ramadhan saya kali ini tidak semudah ini. Entah di mana lah saya akan tinggal dan entah bagaimanakah saya mahu ke tempat kerja. Jalan pun tak tau.

Di Ramadhan kali ini saya berazam untuk mengkhatamkan Al-Quran buat kali pertama setelah gagal melakukannya pada tahun-tahun sebelum ini. Khatam Al-Quran dalam erti kata yang sebenarnya iaitu saya membaca sendirian dari muka surat pertama sehinggalah ke muka surat terakhir. Kalau khatam kerana membaca beramai-ramai, rasanya sudah tiga empat kali berjaya.

Segalanya nampak mudah seawal 10 hari pertama berpuasa kerana berjaya untuk membaca satu juzu’ setiap hari. Namun untuk 15 Ramadhan berikutnya, saya gagal. Pertamanya kerana solat terawih tidak lagi dibuat sebanyak 20 rakaat oleh teman saya itu. Selalunya saya hanya berterawih sebanyak 8 rakaat dan meneruskan ibadah dengan membaca Al-Quran sebanyak yang boleh. Hendak baca waktu lain tidak sempat.

Keduanya ialah apabila pulang dari berterawih, Al-Quran sudah tidak lagi dibaca kerana televisyen akan dibuka.

Ketiganya ialah saya kurang sihat antara 20 sehingga 25 Ramadhan. Makan pun tak lalu. Saya tidur sahaja selepas solat Isya’.

Oleh sebab ketinggalan hampir 10 juzu’ tatkala Ramadhan sudah memasuki tanggal 24 haribulan, saya hampir berputus asa. Namun terasa sayang kerana mengenangkan susah payahnya saya di awal-awal Ramadhan dahulu membaca Al-Quran sehari 1 juzu’. Dah la penat bekerja di waktu siangnya.

Lalu saya memutuskan untuk meneruskan juga usaha mengkhatamkan Al-Quran tidak kira berapa lama pun saya perlu membacanya dalam sehari. Kepenatan bekerja saya perlu letak ketepi. Lantas saya memperuntukkan hampir 2 jam setiap hari mulai hari tersebut untuk membaca Al-Quran. Kesannya, saya lemah longlai tatkala selesai berterawih dan membaca Al-Quran. Tidur sahaja yang saya mahu.

Maaflah kawan-kawan jika sms atau panggilan kalian tidak berbalas atau diangkat kerana saya benar-benar kepenatan.

Hari ini tanggal 28 Ramadhan (jam 5.00 petang) saya telah pun membaca 26 juzu’ Al-Quran. Tinggal 4 juzu’ sahaja lagi untuk dibaca bagi mengkhatamkan Al-Quran buat kali pertama dalam hidup ini di bulan Ramadhan. Saya tidak akan melepaskan peluang ini. Sehingga sebelum tidur malam ini boleh dibaca 2 juzu’ dan esok boleh dibaca lagi 2 juzu’. Hari ini sahaja saya telah membaca kira-kira 4 juzu’. Bukan mudah. Letih. Kering tekak. Mereka yang pernah mendengar saya membaca Al-Quran akan tahu betapa lambatnya saya membaca kitab suci itu lantaran kurang cekapnya saya akan hukum hakam tajwid.

Ramadhan tahun ini juga adalah tahun terakhir saya berpuasa sebagai seorang bujang. Insya-Allah mulai tahun hadapan saya akan berpuasa dan menyambut hari raya dengan seorang isteri. Alhamdulillah persiapan setakat ini lancar. Syukur kepada Allah kerana melapangkan jalan dan memudahkan urusan.

Aidilfitri tahun ini adalah Aidilfitri pertama saya sambut bukan bersama keluarga.  Apa nak buat, cuti pun tidak mencukupi. Nak simpan untuk viva dan kawin jugak.

Semoga amal ibadah yang kita semua lakukan sepanjang Ramadhan kali ini akan diterima oleh Allah SWT dan kita istiqamah di atas jalan tauhid yang kita pilih ini.

Taqabbalallahu Min Kum…

Minna Wa Min Kum Taqabbal Ya Karim…

Update: Alhamdulillah, saya selesai juga mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan Ramadhan 1434 H kali ini (Isnin, 29 Ramadhan ketika jam hampir 930 malam).

Tidak pulang beraya

“Sementara ibu dan ayah masih ada, balikla beraya. Nanti dah tak ade baru terasa…”

“Mak ayah berharap sangat kita balik masa raya…”

“Kita kena cium tangan mak ayah kita pagi raya la…”

“Jangan jadi anak derhaka…”

Hari ini di makmal saya telah ditembak sepejabat dari segenap penjuru dek kerana mengambil keputusan untuk tidak pulang ke seberang sana berhari raya bersama keluarga.

Saya akui, bahawa apa yang mereka katakan seperti yang saya tulis di atas adalah benar belaka.

Saya cuba membawa mereka untuk memikirkan tentang orang-orang lain yang terpaksa bekerja di hari raya seperti para doktor. Namun sudahnya, saya kena tembak lagi.

Oleh sebab itu, saya memilih untuk berdiam diri sahaja. Keputusan untuk tidak pulang berhari raya pada tahun ini telah lama dibuat. Saya tidak sesekali menyesal atau akan bersedih atau berasa bersalah. Ibu dan ayah telah saya maklumi lebih awal dan mereka faham.

Sesungguhnya setiap orang memandang sesuatu dengan cara yang berbeza. baik bagi kita belum tentu lagi baik bagi orang lain.

Dalam keadaan di mana pertentangan nilai yang kita pegang dan pendapat yang kita junjung adalah di antara yang benar dengan yang benar, maka berlapang dadalah juka nilai yang kita pegang dan pendapat yang kita junjung itu tidak turut dipegang dan dijunjung oleh orang lain.

Lagipun bukan setiap tahun saya tidak pulang beraya. Tahun ini adalah yang pertama kali dan dengan izin Allah SWT, tahun hadapan saya akan pulang beraya.

Buat kalian yang pulang beraya, saya doakan kalian selamat pulang dan selamat kembali.

Amin.

Cukuplah sekadar Azan

SAYA MENYOKONG KEPUTUSAN S.S MUFTI PULAU PINANG
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.