Ramadhan 1432 H : Suatu Coretan

Ramadhan kali ini berbeza berbanding Ramadhan pada tahun-tahun sebelumnya. Kali ini Ramadhan saya sambut jauh di perantauan, di Kota Kinabalu. Segalanya berbeza. Bermula dengan waktu sahur dan berbuka yang lebih awal, selain status saya sebagai pekerja sepenuh masa, juadah di bazar Ramadhan juga berbeza berbanding dengan apa yang saya jumpai di bazar-bazar Ramadhan di Semenanjung. Mungkin kerana lidah saya telah terbiasa dengan juadah di sana maka dirasakan kurang sedap juadah di sini.

Seawal 20 Ramadhan saya tinggal sendirian di rumah sewa teman sepejabat. Mujur dia mempelawa saya untuk bermukim bersamanya sepanjang sebulan menjalani attachment di kota Kinabalu. Kalau tidak pasti Ramadhan saya kali ini tidak semudah ini. Entah di mana lah saya akan tinggal dan entah bagaimanakah saya mahu ke tempat kerja. Jalan pun tak tau.

Di Ramadhan kali ini saya berazam untuk mengkhatamkan Al-Quran buat kali pertama setelah gagal melakukannya pada tahun-tahun sebelum ini. Khatam Al-Quran dalam erti kata yang sebenarnya iaitu saya membaca sendirian dari muka surat pertama sehinggalah ke muka surat terakhir. Kalau khatam kerana membaca beramai-ramai, rasanya sudah tiga empat kali berjaya.

Segalanya nampak mudah seawal 10 hari pertama berpuasa kerana berjaya untuk membaca satu juzu’ setiap hari. Namun untuk 15 Ramadhan berikutnya, saya gagal. Pertamanya kerana solat terawih tidak lagi dibuat sebanyak 20 rakaat oleh teman saya itu. Selalunya saya hanya berterawih sebanyak 8 rakaat dan meneruskan ibadah dengan membaca Al-Quran sebanyak yang boleh. Hendak baca waktu lain tidak sempat.

Keduanya ialah apabila pulang dari berterawih, Al-Quran sudah tidak lagi dibaca kerana televisyen akan dibuka.

Ketiganya ialah saya kurang sihat antara 20 sehingga 25 Ramadhan. Makan pun tak lalu. Saya tidur sahaja selepas solat Isya’.

Oleh sebab ketinggalan hampir 10 juzu’ tatkala Ramadhan sudah memasuki tanggal 24 haribulan, saya hampir berputus asa. Namun terasa sayang kerana mengenangkan susah payahnya saya di awal-awal Ramadhan dahulu membaca Al-Quran sehari 1 juzu’. Dah la penat bekerja di waktu siangnya.

Lalu saya memutuskan untuk meneruskan juga usaha mengkhatamkan Al-Quran tidak kira berapa lama pun saya perlu membacanya dalam sehari. Kepenatan bekerja saya perlu letak ketepi. Lantas saya memperuntukkan hampir 2 jam setiap hari mulai hari tersebut untuk membaca Al-Quran. Kesannya, saya lemah longlai tatkala selesai berterawih dan membaca Al-Quran. Tidur sahaja yang saya mahu.

Maaflah kawan-kawan jika sms atau panggilan kalian tidak berbalas atau diangkat kerana saya benar-benar kepenatan.

Hari ini tanggal 28 Ramadhan (jam 5.00 petang) saya telah pun membaca 26 juzu’ Al-Quran. Tinggal 4 juzu’ sahaja lagi untuk dibaca bagi mengkhatamkan Al-Quran buat kali pertama dalam hidup ini di bulan Ramadhan. Saya tidak akan melepaskan peluang ini. Sehingga sebelum tidur malam ini boleh dibaca 2 juzu’ dan esok boleh dibaca lagi 2 juzu’. Hari ini sahaja saya telah membaca kira-kira 4 juzu’. Bukan mudah. Letih. Kering tekak. Mereka yang pernah mendengar saya membaca Al-Quran akan tahu betapa lambatnya saya membaca kitab suci itu lantaran kurang cekapnya saya akan hukum hakam tajwid.

Ramadhan tahun ini juga adalah tahun terakhir saya berpuasa sebagai seorang bujang. Insya-Allah mulai tahun hadapan saya akan berpuasa dan menyambut hari raya dengan seorang isteri. Alhamdulillah persiapan setakat ini lancar. Syukur kepada Allah kerana melapangkan jalan dan memudahkan urusan.

Aidilfitri tahun ini adalah Aidilfitri pertama saya sambut bukan bersama keluarga.  Apa nak buat, cuti pun tidak mencukupi. Nak simpan untuk viva dan kawin jugak.

Semoga amal ibadah yang kita semua lakukan sepanjang Ramadhan kali ini akan diterima oleh Allah SWT dan kita istiqamah di atas jalan tauhid yang kita pilih ini.

Taqabbalallahu Min Kum…

Minna Wa Min Kum Taqabbal Ya Karim…

Update: Alhamdulillah, saya selesai juga mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan Ramadhan 1434 H kali ini (Isnin, 29 Ramadhan ketika jam hampir 930 malam).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: