Dalam Rumahtangga

Dalam rumahtangga ada suami, isteri dan anak. Dalam rumahtangga selain tiga individu tersebut, orang lain adalah orang luar. Dalam rumahtangga, kehadiran orang luar dalam mengatur langkah demi langkah yang akan diambil oleh si suami, isteri dan anak hanya akan menjerumuskan rumahtangga ke lembah kehancuran.

Perjalanan sebuah rumahtangga menuju syurga akan sentiasa bersimpang siur dek ujian dari Allah SWT. Biarpun sehari semalam doa dipanjatkan 17 kali sekurang-kurangnga memohon Allah SWT menunjukkan jalan yang lurus, ketahuilah bahawa jalan itu tidak akan lurus selurus-lurusnya kerana sebagai hamba-Nya, ujian akan ditimpakan sedikit demi sedikit. Bertaqwalah kita kepada Allah SWT dalam meniti jalan menuju syurga. Sungguh taqwa sahajalah penyelamat kita di dunia ini.

Rumahku syurgaku adalah impian setiap pasangan yang berumahtangga. Namun pelbagai faktor perlu diperhalusi untuk merealisasikan slogan tersebut. Faktor emosi & kewangan kerap menjadi faktor utama yang menentukan kebahagiaan rumahtangga di awal-awal perkahwinan. Ketika ini, ragam dan karenah pasangan berkemungkinan besar berlawanan semasa sebelum berkahwin. Ketika ini juga pasangan berada di permulaan kerjaya. Ketika ini juga bayi yang masih kecil memerlukan belaian dan tumpuan yang lebih. Semua ini boleh menjurus kepada stres.

Stres yang gagal diurus dengan baik boleh memandu mana-mana pasangan ke garisan penamat, pemutusan ikatan perkahwinan. Talak..! Wahai Sang Suami, bersabarlah dengan karenah isteri. Bersabarlah. Sungguh isterimu sangat lelah selepas seharian bekerja membantumu mencukupkan biaya keluarga ditambah pula dengan memenuhi keperluan anak-anak yang masih kecil. Tatkala isterimu sedang stres, ketepikan segala kemahuanmu. Pujuklah dia. Bantunya keluar daripada belengu stres. Insy Allah rumah tanggamu akan aman kembali.

Ketahuilah bahawa hidup berpasangan tidak semuanya indah. Tatkala kamu nampak pasangan kamu bermasalah, janganlah salahkan dia. Carilah punca. Tanganinya. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan. Tatkala kamu berdua bergaduh, jangan sesiapapun saling menyalahkan. Kerana tiada siapa yang sedang bersalah.

Salahkanlah diri sendiri yang sedang stres. Tertekan dengan tuntutan kerja yang tidak berkesudahan. Dengan permintaan bos yang tidak sudah-sudah. Dengan rakan-rakan yang mementingkan diri. Dengan belanja dapur yang tidak cukup-cukup.

Ketahuilah bahawa apabila kamu berdua bersepakat menyalahlan stres, kamu berdua telah berjaya mengelakkan rumah tangga menuju kehancuran berbanding jika kamu menyalahkan pasangan. Tatkala stres yang disalahkan, tariklah nafas. Bertekadlah untuk mengenal pasti mengapa kalian stres.

Uruslah punca kalian stres itu dengan baik. Insya Allah, Allah SWT akan membantu hamba-hambanya yang berusaha.

 

 

 

Leave a comment