Semuanya kerana marah

Semuanya kerana marah.

Saya pasti kita semua pernah marah. Sebabnya mesti pelbagai.

Orang apabila marah, cara dia melepaskan kemarahannya juga pelbagai. Ada yang laser mulutnya. Ada yang menunjukkan kemarahannya melalui muka yang kelat. Ada juga yang hanya diam.

Saya termasuk dalam kategori diam.

Saya percaya, ramai yang akan setuju jika saya katakan tatkala marah, kita selalunya atau mungkin sesekali melakukan sesuatu perkara yang kita tidak akan lakukan jika kita sedang tidak marah.

Contoh?

Contohnya ialah, memandu kereta atau menunggang motosikal dengan lebih laju daripada kebiasaan. Makan lebih banyak. Menempah tiket kapal terbang yang mahal harganya yang beberapa ketika sebelum itu telah tidak jadi ditempah. Membeli belah sesuatu yang bukan keperluan. Dan pelbagai lagi.

Saya pula pernah menunggang motosikal terus-terusan tanpa berhenti kecuali untuk mengisi minyak kerana marahkan seseorang. Jauh juga jarak perjalanan yang saya tempoh itu. Di waktu malam pula.

Sehari sebelum peristiwa yang besar berlaku dalam hidup saya, saya telah dengan sengaja membuat u-turn di suatu jalan yang memang tidak boleh u-turn tatkala melihat sebuah lori 3 tan sedang dengan lajunya datang dari arah bertentangan. Saya berjaya melepasi u-turn tersebut dengan selamat hanya kerana lori tersebut melakukan brek emergency. Ditakdirkan pemandunya tidak membrek dengan secukupnya, mungkin saya tidak lagi menulis di sini. Semuanya kerana marahkan seseorang.

Baru-baru ini, kerana marahkan seseorang juga, saya telah melanggar tebing jalan sehingga pecah tayar hadapan sebelah kanan. Entahlah apa yang saya fikirkan pada waktu itu. Saya telah lupa. Tapi yang saya masih ingat, kemarahan saya telah mencapai kemuncaknya beberapa ketika sebelum peristiwa pelanggaran tersebut terjadi. Mujur lah tidak berlaku di jalan yang sibuk. Jika tidak, hanya Allah SWT yang mengetahui.

Diam

Kenapa apabila saya marah, saya suka diam?

Saya suka diam kerana saya tidak mahu lidah saya melafazkan sesuatu yang saya akan menyesal sampai bila-bila.

Saya suka diam kerana tatkala sedang marah, hati dan minda saya sedang memikirkan segala-gala kemungkinan yang buruk-buruk. Saya bimbang jika saya bersuara, apa yang saya akan sebut adalah selari dengan apa yang saya sedang fikirkan.

Maaf

Apabila kita membuat silap dengan seseorang, apa yang patut kita buat?

Sudah tentu kita perlu mengaku kesilapan kita dan meminta maaf.

Tidak susah bukan?

Bukannya orang yang kita buat silap dengannya itu perlu datang kepada kita untuk meminta maaf dan memulakan langkah-langkah menjernihkan semula hubungan.

Ini sudah terbalik.

Namun tidak pelik.

Saya katakan tidak pelik kerana ada spesis-spesis manusia seperti ini.

Sudah berbuat silap, buat tidak tahu dan tidak reti meminta maaf.

Maaf dengan manusia ni jangan dibuat main-main. Kalau buat silap dengan Allah SWT, masih ada harapan untuk diampunkan asalkan bertaubat nasuha dan memohon ampun kepada-Nya.

Namun jika berbuat silap sesama manusia, hanya manusia itu sahaja yang boleh mengampunkan kita.

Maka janganlah ambil mudah hal-hal yang dianggap kecil ini bagi sesetengah orang.

Biarlah mudah kita memohon maaf setiap kali kita melakukan kesilapan. Asalkan di akhirat nanti kita tidak berhutang dengan siapa-siapa di luar sana.

Buat yang telah meminta maaf  dan sedang menunggu kemaafan daripada orang yang telah kita berbuat silap dengannya, bersabarlah. Anda telah memulakan langkah yang betul.

Buat yang sedang menunggu orang yang berbuat salah dengan kita datang kepada kita untuk meminta maaf, teruskanlah menunggu. Tetapi jangan terlalu mudah memaafkan. Tidak semua manusia layak diberi kemaafan. Lagi-lagi yang jenis suka melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang.

Kadang-kadang tidak mudah memberikan kemaafan itu lebih baik demi mengubah hati seseorang yang sekeras batu.

Sombong.

Biar buku bertemu ruas.

Besi kan mesti dilentur dengan besi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: