Proton Preve: Pandu Uji 3

Proton Preve menakluk Club Med

Baru-baru ini saya telah menyertai rombangan media ke Club Med di Cherating, Kuantan untuk sesi pandu uji model terbaru Proton, Prevé. Walaupun saya cuma menyertai mereka di Kuantan, tapi pengalaman tersebut pastinya tidak akan dilupakan. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menyertai sesi pandu uji bersama Proton.

10 buah Prevé, 7 unit versi CFE dengan kotak gear CVT (ProTronic 7 kelajuan) & 3 unit versi manual (5 kelajuan) telah disediakan untuk pihak media. Namun disebabkan jumlah kereta yang agak terhad kami terpaksa berkongsi setiap kereta untuk 4 orang. Saya cuma berpeluang merasai pengalaman dengan unit versi CFE sahaja, namun ia sudah memadai kerana saya sudah lama tidak memandu kereta manual, hahaha…

Prevé ternyata berjaya menarik perhatian bukan sahaja pelancong asing malah juga penduduk setempat. Setiap kali ia meluncur di jalan raya, pastinya ia akan menjadi tumpuan sehingga saya dan beberapa rakan media “kembang hidung” seketika. Tahniah kepada Proton kerana telah berjaya menerima tempahan melebihi 4000 unit bagi model ini, ternyata ia benar-benar memikat hati rakyat Malaysia.

Rekaan luaran

Bagi saya, rekaan luaran Prevé ini adalah pengenalan wajah baru kepada model generasi akan datang Proton. Sememangnya banyak styling cues diilhamkan dari DNA model-model terdahulu, terutama sekali yang terdapat pada model Savvy . Rekabentuk gril yang bertemakan single graphic yang bersambung terus dengan lampu hadapan , flying wing dan logo Proton membuatkan model ini nampak lebar secara visual. Lampu posisi LED yang berada bersama lampu hadapan melengkapi  tema tersebut.

Di bahagian sisinya menampakkan kegagahan model ini dan sekali imbas ia seperti model kereta dari Eropah. Menurut Azlan Othman, ketua unit Styling Proton, walaupun rupa keseluruhannya tidak radikal namun rekaan sebegini lebih bertahan lama dan tidak terlalu pelik. Secara jujurnya saya kurang berminat dengan rekaan belakang model ini kerana Proton masih lagi mengekalkan bar panjang yang melintang antara lampu belakang. Pada pendapat saya ia lebih sesuai tanpa bar tersebut. Pada asalnya kedudukan lampu  signal dan lampu undur adalah selari dengan bar tersebut, namun ia tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan kedudukannya terpaksa dinaikkan sedikit ke atas.

Rekaan dalaman

Walaupun rekaan papan pemuka model ini agak ringkas, tetapi pemilihan warna dan penggunaan plastik soft touch telah membuatkan seolah-olah saya berada di dalam kereta buatan Eropah. Perincian yang dibuat pada steering dengan menggunakan butang yang lebih besar, balutan kulit dan paling dinantikan oleh semua pembaca blog ini ialah kembalinya emblem yang berkrom menggantikan emblem plastik yang nampak murah telah membuatkan kita semua terlupa sebenarnya steering itu asalnya dari model Exora. Salah seorang rakan media yang satu kumpulan dengan saya semasa sesi photoshoot sangat seronok memegang steering tersebut.

Penggunaan plastik soft touch telah diperluaskan ke panel pintu hadapan adalah permulaan yang baik kepada Proton dalam menambah baik model keluarannya. Mungkin atas faktor kos, pintu belakangnya terpaksa menggunakan plastik keras.

Di bahagian konsol tengah papan pemuka model ini letaknya head unit dan sistem navigasi dengan skrin sentuh sememangnya menarik kerana ia tidak terdapat pada model keluaran Eropah dan Jepun yang berharga dibawah RM100 ribu. Smart Info Display (SiD) bersama dengan panel meter bercahaya putih kelihatan lebih menarik dan menyerlah pada waktu malam.

Tepat duduknya juga selesa dan tidaklah terlalu keras. Pemilihan fabrik kalis air juga merupakan pilihan yang tepat dan yang pastinya Proton akan mengeluarkan versi yang menggunakan kerusi kulit pada masa datang. Ruang kaki belakang cukup luas dan ini terbukti apabila saya duduk di belakang, jarak antara lutut dengan kerusi penumpang hadapan agak jauh.

Pandangan saya, untuk model akan datang Proton perlu lebih tumpukan kepada aspek rekaan papan pemuka kerana ia nampak agak kosong terutama pada bahagian tengah. Mungkin untuk model hatchback nanti, jika boleh ubah layout nya supaya lebih menarik.

Prestasi Enjin

Enjin CFE yang telah terbukti kecemerlangannya pada Exora Bold, kini menjadi penjana kepada Prevé. Memang enjin ini cukup berkuasa dipadankan pula dengan kotak gear CVT (ProTronic 7 kelajuan) ia merupakan satu gabungan yang mantap. Kuasa pecutannya jelas dirasai ketika sistem turbonya mula berfungsi pada 2000 rpm. Menurut Enoch Abraham salah seorang jurutera yang terlibat dalam pembangunan enjin Proton, enjin CFE sudah lebih dari memadai untuk menjana model Prevé.

Walaupun kotak gear CVT tidak segah DSG tapi ia memadai kerana penukaran gear kereta ini amat lancar tanpa sebarang senggukkan. Tambahan pula dengan adanya mode S dengan paddle shifter ia menjadikan pemanduan lebih mengujakan umpama memandu sebuah kereta berprestasi tinggi.

Ada juga rakan media yang sempat lenjan kereta ini dan memberitahu kepada saya kelajuannya sempat mencecah 200kmh. Yang paling mengagumkan saya bukan enjin CFE sahaja yang mampu mencapai kelajuan tersebut, enjin IAFM+ dengan kotak gear manual juga mampu mencapai kelajuan yang sama.

Pengendalian dan pemanduan

Proton Ride and Handling ibarat aur dengan tebing yang tak dapat dipisahkan dengan model kereta Proton. Untuk model Prevé sistem suspensi belakangnya menggunakan multilink dengan ditala sepenuhnya oleh anak tempatan. Syammim Noori Arifin, merupakan salah seorang yang terlibat dalam memastikan Ride and Handling model Prevé adalah yang terbaik dalam kelasnya.

Menurutnya Prevé diberi talaan suspensi yang lebih lembut, sesuai dengan dengan permukaan jalan yang terdapat di Malaysia yang tidak begitu baik. Ini terbukti semasa menuju ke lokasi photoshoot terutama sekali di sekitar pelabuhan Kuantan, permukaan jalan yang tidak rata, berlubang dan banyak bonggol ternyata Prevé berjaya melepasi semua halangan tersebut dengan baik sekali. Tayar GT Radial yang menggunakan silica compound walaupun agak lembut, ia lebih berkesan semasa waktu hujan dan permukaan jalan yang basah.

Kesimpulannya, Prevé sudah membuktikan Proton sudah mampu membangunkan sebuah kereta bertaraf dunia dan bersedia untuk bersaing diperingkat global. Cuma apa yang perlu ditekankan oleh Proton ialah kualiti produk dan khidmat lepas jualan yang masih lagi perlu diperbaiki. Dengan jaminan 5 tahun pastinya ini merupakan satu langkah yang amat berani diambil oleh Proton untuk memastikan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan.

Tahniah diucapkan kepada  Dato’ Sri Haji Syed Zainal dan anak-anak buahnya!

Komen dari wakil media dan staf Proton mengenai Prevé :

” Pakej kereta yang lengkap dan seimbang dari segi harga, kuasa, pengendalian dan ruang. Walaupun masih tidak sempurna saya tetap berbangga dengan kemampuan kerja tangan anak tempatan menghasilkan Prevé. Syabas dan tahniah Proton! ” – Arish Qutb, Extreme Kars.

” Bagi saya rekaannya memang menarik dan tampak garang selain dipadankan dengan lampu posisi led. Prestasi enjin memuaskan, boleh memecut pada tahap maksimum dengan mudah dan yang penting kereta tetap stabil. Ruang kabin tampak premium dengan harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Sokonglah jenama tempatan. ” – Erywan Norshal, Harian Metro.

” Steering rasa tepat, respons progresif walaupun pada halaju tinggi. Pemanduan agak seimbang antara keselesaan dan body control ketika membelok agar kereta terasa melekat di atas jalan. Pengendalian ada grip yang bagus dan imbangan yang baik agar tidak terlalu understeer, tapi tidak terlalu liar dan masih boleh dikawal. “  – Syammim Noori Arifin, Proton Ride and Handling.

 

Source: http://funtastickodesign.wordpress.com/2012/04/27/proton-preve-menakluk-club-med/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: