Proton Preve: Pandu Uji 2

Pandu Uji – Proton Preve tiada tandingan

Proton Preve sememangnya tiada tandingan, itu yang dapat disimpulkan setelah saya selesai menghadiri sesi pandu uji model tersebut yang diadakan dari 23-25 April 2012. Sesi pandu uji itu bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam ke Club Med, Cherating, Pahang dan kemudiannya berpatah balik ke Shah Alam. Pelbagai bentuk jalan raya yang dilalui sepanjang tempoh sesi berlangsung sudah cukup untuk menggambarkan akan kelebihan model yang mendapat pujian ramai ini.

Berkenaan reka bentuk luaran Preve, siapa yang dapat menyangkal bahawa produk global pertama keluaran Proton itu sangat istimewa. Ke mana saja saya dan rakan media seramai 40 orang berada ketika dalam sesi pemanduan menggunakan 7 unit model Premium CFE dan 3 unit model Executive manual, pastinya ramai yang teruja dan tidak melepaskan peluang melihat rombongan kami dengan perasaan ingin tahu dan kagum.

Walaupun ramai yang bersetuju Proton Preve merupakan sebuah model kereta yang cantik dan sporty, itu bukanlah satu-satunya perkara yang menjadikan model ini mempunyai kelebihan yang bukan sedikit berbanding pesaingnya. Memang benarlah kata Proton, pandu ujilah Preve hari ini untuk anda mempercayainya. Tidak cukup dengan hanya melihat, pengalaman memandu model Preve sama ada versi manual dan auto melalui pelbagai keadaan jalan raya di Kuantan dan dalam perjalanan pergi dan balik ke Shah Alam telah membuatkan saya jatuh cinta terhadapnya.

Karakter pemanduan Preve sangat mantap, terutamanya apabila menyentuh berkenaan sifat keseronokan sewaktu memandu. Jarang kita menjumpai model lain sekelasnya yang mempunyai tahap pengendalian cukup memuaskan dan stabil, apatah lagi apabila digandingkan dengan ciri-ciri ‘Proton Ride & Handling’. Bersama-sama ciri kebanggaan Proton itu, Preve amat selesa dipandu terutamanya ketika mengambil selekoh di jalan berliku dan memecut di jalan yang lurus pada kelajuan tinggi. Preve berjaya melakukannya sebaik mungkin, tiada model lain yang mampu menandingi sifat pemanduan dan pengendaliannya yang bagi saya cukup sempurna dan energetik.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya akan kemampuan kuasa Proton Preve, apatah lagi ianya menggunakan enjin 1.6 liter CamPro untuk membawa beban kira-kira 1,300 kg berat keseluruhannya, ditambah pula dengan adanya penumpang. Bagi versi Premium dengan enjin CFE dan transmisi CVT Protronic 7-kelajuan, kuasa sebanyak 138hp dan 205Nm bagi saya amat memuaskan dan cukup berkuasa. Pecutan sehingga hampir 220km/j berjaya dilakukan pada putaran enjin 5,500rpm, mengesahkan lagi kehebatan enjin CFE dengan bantuan sistem turbo yang kadang-kala masih dipandang rendah oleh sesetengah orang.

Namun, saya paling teruja dengan kemampuan enjin Preve bagi versi manual dengan enjin CamPro 1.6 IAFM+, yang dipadankan kotak gear manual 5-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan setinggi 107hp dan 150Nm, mungkin ada yang mempertikaikan kemampuannya. Sebenarnya, kuasa enjin pada angka seperti itu sudah memadai, pecutan maksimum yang berjaya dilakukan mampu mencecah sehingga 190km/j, dan percayalah, prestasi tork pada Preve manual tidak akan mengecewakan anda. Enjin CamPro IAFM+ sudah ditala sebaik mungkin oleh jurutera Proton dan memberikan tahap responsif yang diperlukan apabila pedal minyak ditekan, hanya keseronokan pemanduan sahaja yang saya dapat gambarkan melalui varian Preve dengan harga paling rendah itu.

Saya sukakan bahagian dalaman Preve yang luas. Sebagai pemandu, keselesaan memegang stereng di samping keseronokan menekan pedal minyak, saya mendapat bonus apabila ruang dalamannya menawarkan keselesaan yang cukup memuaskan. Ruang tempat duduk belakang antara yang sering diperkatakan dan sememangnya ia sangat luas dan selesa. Ruang kaki yang luas dan tahap kelegaan kepala yang mencukupi, Proton berjaya menambah baik ciri-ciri yang sangat diperlukan terhadap sebuah sedan dalam segmen yang sangat kompetetif ini bagi menjadikannya pilihan bukan saja kepada pemandu individu, malah untuk sesebuah keluarga.

Sebelum saya terlupa, sukacitanya dimaklumkan bahawa bunyi angin atau tahap NVH di dalam kabin Proton Preve boleh dikatakan berada pada tahap minimum, tidak terasa bunyi angin yang kuat, menambahkan lagi tahap keselesaan sedia ada. Yang penting, pemanduan pada jarak yang jauh dengan Preve tidak terasa memenatkan. Ruang but belakang juga cukup luas, anda boleh mengisi apa saja terutamanya ketika melakukan aktiviti pulang ke kampung, tiada lagi alasan untuk tidak membeli Preve jika itu yang menjadi faktor utama anda apabila berbicara mengenai keperluan untuk memiliki sebuah sedan.

Pengalaman memandu Proton Preve bersama-sama rakan media yang lain dalam sesi kali ini bagi saya suatu pengalaman yang cukup berharga. Bukan senang untuk saya mendapat peluang seperti ini, terima kasih diucapkan kepada sahabat saya bro AK daripada blog Arena Kereta yang memberikan saya peluang mewakilinya dalam sesi pandu uji Preve kali ini. Kesimpulan yang saya boleh buat di sini ialah, Proton Preve merupakan buah tangan terbaik dari Proton setakat ini. Sebuah sedan serba lengkap pada harga berpatutan, padat dengan ciri-ciri dan tahap keselamatan yang melebihi pesaingnya, Preve kini menjadi dambaan saya.

Tidak cukup dengan hanya mendengar dan melihat, pengalaman memandu ujinya sendiri adalah bukti yang paling nyata. Sememangnya Proton Preve tiada tandingan. Pandu ujilah ia hari ini dan saya percaya anda akan bersetuju dengan kenyataan itu.

AK : Artikel pandu uji ini disediakan bersama oleh saya dan saudara E’one EyzOne yang mewakili Arena Kereta ke sesi pandu uji tempoh hari.

 

Source: http://www.arenakereta.com/27/04/2012/pandu-uji-proton-preve-tiada-tandingan/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: