Tidak Sihat

Bersenam…

Adalah kewajipan bagi setiap manusia jika mahu sihat.

Dua puluh minit setiap sesi, 3x seminggu seperti yang disarankan.

Semalam saya terlibat dengan program Saringan Kesihatan bersempena Ramadhan anjuran jabatan pengajian saya dan Surau Al-Ikhlas, Balakong. Program yang bermula seawal jam 830 pagi itu telah dirasmikan oleh YB ADUN kawasan berkenaan dan berjaya menghimpunkan hampir 100 individu daripada pelbagai peringkat umur (18 tahun ke atas), agama dan bangsa.

Syukur, program berjaya. Masih ramai yang mengambil berat akan kesihatan mereka dan dengan izin Allah swt tahun hadapan akan diadakan lagi.

Tetapi bukan jumlah perserta yang ingin saya ketengahkan di sini.

Apa yang mahu saya ketengahkan ialah secara tidak rasmi, lebih 50% individu yang berkunjung ke sana terdiri daripada mereka yang mengamalkan kehidupan sedentari dengan kekerapan bersenam kurang sekali seminggu.

Saya yang mengambil ukur lilit pinggang dan pinggul untuk peserta lelaki mendapati lebih 50% memiliki nisbah ukur lilit pinggang dan pinggul yang tidak ideal.

Petugas lain yang mengambil ukuran jumlah lemak dalam badan juga mendapati lebih 50% memiliki lemak yang berlebihan.

Tidak ketinggalan kandungan gula, asid urik (petunjuk akan penyakit gaout), tekanan darah dan indeks jisim tubuh yang tidak ideal.

Walaupun tiada data rasmi yang dikeluarkan, saya bolehlah membuat kesimpulan bahawa warga Malaysia amnya tidak sihat atau lebih tepat lagi menempah sakit kerana selain petunjuk-petunjuk kesihatan yang tidak baik, mereka juga kurang bersenam.

Saya juga termasuk dalam kategori seperti itu walaupun kesemua petunjuk kesihatan saya baik.

Teringat zaman ketiadaan kenderaan.

Berjalan kaki ke kuliah menjadi kelaziman terutamanya di awal-awal pagi.

Berbasikal juga pernah menjadi rutin suatu ketika dulu.

Adakah saya akan kekal sihat atau sedang menempah sakit…?

Anda pula…?

Leave a comment