Kata ekonomi tumbuh 10% tapi…

Beberapa minggu yang lepas laporan akhbar mengatakan bahawa ekonomi negaraku yang tercinta ini mencatatkan pertumbuhan melebihi 10% pada suku pertama tahun ini.

Ahli ekonomi sifatkan Najib ambil langkah tepat

KUALA LUMPUR 14 Mei – Ahli ekonomi memberikan markah penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana berjaya meletakkan ekonomi Malaysia pada kadar pertumbuhan yang pesat.

Dr. Yeah Kim Leng, Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings, memperakui bahawa pemulihan ekonomi Malaysia yang pantas adalah hasil daripada pelan rangsangan Najib.

“Semasa Perdana Menteri Najib mengambil alih tugas meneraju negara, krisis kewangan dunia berada pada puncaknya. Apa yang kita lihat sekarang ialah PM sudah melepasi cabaran paling kritikal dalam memastikan kita mampu bertahan dalam kemelesetan global yang berlaku serentak.

“Dasar yang dilaksanakan berjaya menangani kesan krisis kewangan global sehingga ke tahap Malaysia tidak mengalami kesan teruk,” katanya.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama 2010, pertumbuhan sukuan paling tinggi dalam tempoh 10 tahun. Kali terakhir Malaysia mencatat pertumbuhan sukuan tertinggi ialah pada 2000 apabila merekodkan pertumbuhan 11.7 peratus.

Dr. Yeah menyifatkan prestasi suku tahunan itu hasil daripada dasar kukuh Najib, khususnya pakej rangsangan kedua, yang telah membantu merangsang keyakinan serta mengurangkan pemberhentian pekerja.

Beliau berkata Perdana Menteri telah memandu Malaysia menerusi tahap paling sukar, dan “fasa itu sudah berlalu”.

“Pemulihan Malaysia adalah lebih kukuh daripada unjuran oleh penganalisis pasaran. Kita pulih pada suku keempat tahun lepas dan ekonomi berkembang sebanyak 4.5 peratus,” katanya.

“Sudah pasti pertumbuhan tahunan yang ketara itu juga disebabkan ekonomi menguncup tahun lepas. Apabila anda membuat perbandingan tahunan, kita melalui pemulihan kitaran,” katanya.

Hasil daripada pandangan jauh Perdana Menteri, Dr. Yeah berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai ledakan ekonomi seterusnya.

Turut kagum ialah ahli ekonomi lulusan Sorbonne Perancis, Datuk Dr. Norraesah Mohamad (gambar), yang berkata respons pantas Perdana Menteri untuk menggerakkan ekonomi, berjalan mengikut perancangan.

Beliau berkata, satu sebab utama pemulihan itu ialah pakej rangsang RM70 bilion yang disuntik dalam ekonomi tahun lepas, yang masih diteruskan.

Sementara itu, Najib membayangkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bermakna lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengumumkan peningkatan kadar faedah untuk menangani sebarang peningkatan inflasi susulan pertumbuhan yang tinggi itu.

Ringgit juga ditutup lebih tinggi berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis hasil daripada data KDNK yang kukuh bagi suku pertama tahun ini.

Mata wang tempatan diniagakan pada 3.1950/1000 semalam berbanding 3.2030/2070 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata pengukuhan ringgit disumbangkan oleh aliran masuk dana ke dalam pasaran ekuiti.

“Ringgit akan diniagakan antara 3.18 dan 3.17 berbanding dollar tidak lama lagi,” katanya.

Bekas menteri Kabinet yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru Datuk Seri Utama Shahrir Samad berkata “ringgit yang kukuh akan menggalakkan import barangan modal yang akan menyumbang kepada inovasi dan automasi industri dalam negara”.

“Ia juga akan mengurangkan peruntukan subsidi kerajaan memandangkan petrol, gula dan tepung, yang merupakan produk yang memperoleh subsidi utama, kesemuanya yang didenominasi dalam dolar AS. Menerusi pengurangan subsidi, perbelanjaan operasi kerajaan dan defisit akan juga berkurangan.” – BERNAMA

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0515&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm&arc=hive

Tapi sekarang isu ini pula yang muncul.

Negara boleh bangkrap jika teruskan subsidi

KUALA LUMPUR 27 Mei – Malaysia mungkin menjadi sebuah negara bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi masa kini tidak dimansuhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, ini kerana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Sehubungan itu, Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan Malaysia memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonominya agar lebih berdaya saing.

“Kemajuan negara bergantung pada keupayaan mewujudkan inovasi dan pelaburan yang telus tanpa pemberian subsidi kepada rakyatnya.

“Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi adalah antara salah satu aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan. Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun,” katanya ketika berucap pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di sini hari ini.

Makmal Rasionalisasi Subsidi itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah kerajaan untuk memansuhkan pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini.

Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009.

Ia melibatkan perbelanjaan subsidi untuk sosial (RM42.8 bilion), bahan api (RM23.5 bilion), infrastruktur (RM4.6 bilion) dan makanan (RM3.1 bilion).

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan berakhir 2009 melibatkan peningkatan 11 peratus.

“Ia hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD Switzerland.

”Pemberian subsidi kerajaan bermakna ia melibatkan defisit bajet dan peningkatan hutang kerajaan yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata, pemberian subsidi juga mempunyai kesan negatif kerana ia turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi walaupun sasarannya untuk membantu orang miskin.

”Kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia telah diagihkan kepada setiap rakyat di negara ini meliputi soal pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perubatan, petrol, gula dan minyak masak serta elaun kebajikan,” katanya.

Menurut Idris, kerajaan dalam cadangan pelaksanaan pemansuhan subsidi itu, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm&arc=hive

Para pembaca yang budiman, tak terasa saling bercanggah ke kedua-dua berita di atas?

Untuk pengetahuan semua, 40% Rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM 1500 sebulan (Source). Mereka inilah yang sudah tentu sekali akan merasakan roti canai naik, teh tarik naik. Apapun saya sukakan jawapan al-Imam Nawawi seperti di bawah ini:

Agama bukan candu untuk mengkhayalkan orang miskin

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Source: http://drmaza.com/home/?p=808

Harapan kita agar apa jua dasar kerajaan tidak akan sama sekali membebankan rakyat. Sesungguhnya harga makan malam sesetengah pimpinan negara kita untuk sehari boleh menampung keperluan seminggu atau dua minggu golongan berpendapatan rendah. Selagi itu amalan mereka, mereka tidak layak bercakap soal jimat cermat. Ya Allah, aku rindukan pimpinan seperti Umar ra…

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Source: http://drmaza.com/home/?p=808

Bilakah agaknya Malaysia akan mempunyai pimpinan seperti itu…?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: