Zina: Semoga kita semua menjauhkan diri daripadanya dan dijauhkan oleh Allah SWT

Buang Bayi: Kejutan Budaya di Tanah Air Sendiri

“Rizal, hati-hati di luar negara nanti. Takut terkena kejutan budaya!” kata emak.

Kami berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang, malam September 1993.

Bukan emak sahaja. Saudara mara, pegawai penaja, kawan-kawan, semua berpesan dengan pesanan yang sama.

“Hati-hati dengan kejutan budaya”

Tetapi setibanya saya di Jordan, saya tidak mengalami apa yang dinamakan sebagai kejutan budaya. Malah selepas tamat pengajian dan berhijrah ke Eropah, saya tidak mengalaminya. Semuanya masih berada di dalam lingkungan jangkaan saya. Keganjilan yang berlaku adalah keganjilan akibat perbezaan latar belakang budaya dan agama. Namun ia tidak berhasil mencetuskan kejutan.

Kali pertama saya dilanda kejutan budaya ialah ketika pulang ke tanah air sendiri. Pulang selepas 11 tahun hidup di perantauan. Pulang dengan kesungguhan untuk sehidup semati dengan kampung halaman. Tetapi semangat berkobar-kobar itu tercabar. Dibakar oleh kejutan yang sungguh menakutkan.

Antara berita awal yang saya tonton di kaca televisyen ialah seorang bayi yang tidak dialu-alukan kejadiannya, dibuang oleh si ibu ke dalam plastik sampah hitam dan dicampakkan daripada atas sebuah rumah pangsa! Wallahi, saya tidak pernah mendengar kejadian seumpama itu di mana-mana penjuru alam yang saya pernah bertamu. Tetapi ia berlaku di tanah air sendiri.

Saya cuba untuk tidak membanding-bandingkan apa yang berlaku di tanah air dengan apa yang dialami selama mastautin di luar negara. Bersungguh-sungguh saya memaksa diri untuk menghadam kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’. Tetapi disebabkan oleh budaya kita sendiri yang gemarkan perbandingan terpanjang, terbesar, terlebar, tertinggi, dan segala yang ter… itu, maka haruslah kita membuat perbandingan pada sesuatu yang lebih serius.

Gejala membuang dan membunuh bayi ini adalah simptom.

Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah pun menceritakan dua bentuk pembunuhan, yang disandingkan bersama dosa induk yang menjadi puncanya.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar” [al-Israa’ 17: 31]

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan ahli warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)” [Al-Israa’ 17: 33]

Kedua-dua ayat di atas menjelaskan betapa besarnya hukuman ke atas perbuatan membunuh. Betapa mulianya nyawa manusia di sisi Allah. Betapa merbahayanya kehidupan manusia apabila pembunuhan mengalami proses normalisasi. Namun dua ayat yang bercakap tentang pembunuhan sama ada kerana tekanan sosial atau akibat konflik besar yang berlaku antara manusia, kedua-duanya mengapit sepotong ayat yang amat berkait rapat dengan pembunuhan.

Firman Allah di dalam surah yang sama, Surah al-Israa’ di ayat yang ke 32:

“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” [al-Israa’ 17: 32]

Ya, kedua-dua ayat yakni ayat ke-31 dan 33 mengiringi ayat 32 yang berupa larangan Allah terhadap kita mendekati zina.

Itulah perbuatan yang keji.

Perbuatan keji yang telah ditutup pintunya oleh Allah melalui pembetulan sosial melalui batas hubungan antara silang jantina, menjaga aurat, memelihara pandangan, dan sudah tentu pembetulan Aqidah, pandangan hidup dan sistem nilai yang mendasari perbuatan manusia.

Zina itu sudah ditutup pintu-pintunya melalui kepatuhan kepada peraturan itu.

Namun pintu zina kembali terbuka.

Dalam segala kemudahan yang diusahakan untuk manusia bergaul sesama mereka secara halal, yang HARAM itu juga menjadi pilihan.

Bermula dengan ruang chatting di internet, bertukar-tukar mesej prihatin dan nasihat, berpindah kepada ungkapan sayang dan perhatian, naik taraf kepada lonjakan keinginan untuk bertemu, dimulakan dengan makan minum mengambil angin, diuji dengan sentuhan tangan dan berakhir dengan ZINA.

ZINA bukan kesudahannya.

ZINA adalah permulaannya.

Bermulanya siri pembunuhan kejam. Berlaku saban hari. Zina dan pembunuhan mengalami normalisasi. Tidak pernah terbayang oleh pembuang bayi itu bahawa bayi itu mungkin dirinya 20 tahun yang lalu. Tidak…

MERAWAT DAN MENGHUKUM

Sukar untuk dibahaskan hal ini, pada memperkatakan telur atau ayamkah yang bersalah.

Namun semua pihak perlu saling bekerjasama bertindak menutup kembali pintu itu.

Jika diikutkan rasa marah, tentu sahaja marah kita membuak-buak. Kecewa, geram, dendam, semuanya boleh muncul apabila berita pembunuhan dan pembuangan bayi ini berlaku. Akan tetapi, meluahkan perasaan tanpa tindakan tidak akan sama sekali mengubah apa-apa. Tindakan membendung, merawat dan memulihkan ‘orang sakit’ yang terdiri daripada anak-anak muda, baik gadis mahu pun teruna, perlu digiatkan.

Terkenang saya kepada Raudhatus Sakinah (RS).

RS merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan dengan inisiatif Jemaah Islah Malaysia (JIM) bertujuan memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja puteri yang menjadi mangsa gejala sosial ini. Tentu sahaja di satu peringkat, penubuhan badan seperti ini dipandang serong oleh masyarakat. Ia dianggap sebagai tempat yang memberikan kemudahan kepada pesalah laku untuk beroleh perlindungan.

“Makcik-makcik itu, merekalah yang jadi tukang bela si sundal dan anak-anak haram itu!” kata segelintir masyarakat.

Tidak mengejutkan.

Tetapi pandangan menghukum yang tidak seimbang dengan tindakan pencegahan, akan menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk.

Ketika masyarakat lebih selesa mencari salah siapa,  jawapan kepada soalan itu sudah tidak mempunyai sebarang kegunaan. Masakan tidak, berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Pertemuan dengan Puan Rosmawati Zainal, Pengarah Raudhatus Sakinah yang menjadi rakan panelis forum di Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur baru-baru ini membuka banyak dimensi perbincangan untuk diketengahkan kepada khalayak. Modus operandi Zina diulas agar anak muda tidak meremehkan ‘langkah-langkah kecil’ yang nantinya boleh berakhir dengan Zina dan pembunuhan bayi. Tidak kurang daripada 30% penghuni cawangan Raudhatus Sakinah, adalah terdiri daripada pelajar IPT dan fenomena ini menjelaskan kepada kita bahawa pendidikan yang tinggi, bukanlah satu jaminan simplistik untuk mencegah daripada perlakuan Zina.

“Apa yang menyedihkan ialah, akhbar-akhbar gemar mensensasikan berita penzinaan ini,” kata Puan Rosmawati.

“Benar. Budaya memperincikan perlakuan jahat dengan gambar-gambar yang merangsang kepada zina, menjadikan liputan berita bukan bermaksud pendidikan tetapi menambahkan lagi segalanya” saya menyetujui kata-kata Ummi Ros tersebut.

“Sebab itu kami banyak menolak temuramah media. Tidak mahu anak-anak yang menghuni RS dijadikan bahan berita sensasi,” ujar Dr Ruziaton Hasim, Pengerusi RS Selangor yang hadir sama ke majlis itu.

“Apakan daya, alangkan tilam DSAI pun diheret tanpa malu. Liputan berita kes liwat juga mencetuskan keaiban yang amat membimbangkan!” saya teringatkan sesuatu.

Perbualan malam ini membawa saya kepada mengingati sebuah laporan akhbar di BBC baru-baru ini tentang kejadian buang bayi di masjid, sesuatu yang amat jarang berlaku di negara seperti England. Renungkan bentuk berita itu dilaporkan:

A newborn boy left at an Islamic centre in Staffordshire has died.

he baby was found wrapped in clothes at about 1030 GMT outside the centre in Beresford Street in the Shelton area of Stoke-on-Trent.

He was taken to the University Hospital of North Staffordshire where he was declared dead at 1230 GMT, Staffordshire Police said.

The area has been cordoned off while officers investigate. Anyone with information should call police.

Members of the Makki Mosque in Shelton who found the baby told BBC Midlands Today he was left on the steps of the Islamic Centre with a note attached saying “please help to bury him”.

Mother’s safety

A spokesman for Staffordshire Police said: “[We] were contacted by members of The Islamic Centre in Beresford Street in Stoke-on-Trent who had discovered a package outside the centre which they suspected contained a baby.

“Police attended and discovered a very young baby boy who was conveyed to University Hospital of North Staffordshire for treatment.

“Sadly at 1230 [GMT], despite the efforts of the medical team, the baby died.”

Police are appealing for the mother to come forward as she may be in need of urgent medical treatment.

Det Insp Dave Giles said: “I urge the mother to come forward so we can help her.”

Anyone with information is asked to contact Staffordshire Police or call Crimestoppers anonymously.

Source: http://news.bbc.co.uk/2/hi/uk_news/england/staffordshire/8553331.stm

Kejadian seumpama itu amat jarang berlaku di negara seperti England.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan berhubung ‘rayuan’ pihak Polis kepada ibu bayi berkenaan. Polis merayu agar ibu kepada bayi tersebut tampil ke hadapan kerana beliau mungkin memerlukan kepada rawatan perubatan segera.

Bentuk laporan sangat berkesan dalam mengubah persepsi masyarakat tentang kejadian seperti ini. Laporan harus padat dengan penyelesaian dan bukan disensasikan sesuka hati. Teringat saya kepada tulisan-tulisan Wahid Kasran di Utusan Malaysia pada zaman 1990′an dahulu. Beliau yang adakalanya digelar sebagai sasterawan seksualiti, menulis rencana yang bermatlamatkan pengajaran tetapi tepu dengan pengolahan yang merangsang libido mereka yang lemah iman.

Ini amat berbeza dengan saranan al-Quran.

Lihat kepada firman Allah:

“Setelah mereka pergi dengan membawanya (Yusuf) bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukannya), dan Kami pula ilhamkan kepadanya:” Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi)” [Yusuf 12: 15]

Para Ulama Tafsir menegaskan bahawa ayat ke-15 daripada Surah Yusuf ini menceritakan tentang tindakan adik beradik Yusuf mencampakkannya ke dalam perigi tanpa diperjelaskan bagaimanakah modus operandi konspirasi itu, adalah dengan hikmah yang besar. Allah Subhanahu wa Ta’aala tidak mahu orang yang lemah imannya belajar cara untuk melakukan jenayah dan maksiat melalui pembacaan ayat al-Quran. Sesungguhnya perbuatan memperincikan perlakuan jenayah adalah satu trend media yang mesti dimuhasabah kembali kerana di situlah maklumat diperolehi dengan mudah, bermula daripada jenayah zina, rogol dan samun, hinggalah kepada pembunuhan psikotik yang semakin berleluasa.

Seriuskah masyarakat kita berfikir dan bertindak mengatasi hal ini?

Semasa anda membaca artikel ini, mungkin seorang lagi anak luar nikah terjadi atau dilahirkan!

Inna Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un…

Source

http://saifulislam.com/?p=7700

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: