Susahnya menjadi ‘hijau’

Godaan kereta elektrik

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my

Dengan angka jualan mencecah 1.2 juta unit sejak dilancarkan, Toyota Prius kini mencuri perhatian peminat jentera hijau Malaysia.

MEMANDU uji kereta ini membuatkan saya sentiasa diperhatikan. Malah, selepas memarkirnya beberapa ketika, pasti akan ada orang yang sanggup menunggu untuk bertanya lebih lanjut mengenai model hibrid keluaran Toyota ini. Jadi, terpaksalah saya menjadi seorang jurujual Toyota tidak rasmi.

Berdasarkan minat yang ditunjukkan, saya boleh katakan bahawa pengguna Malaysia tidak keberatan untuk beralih kepada kenderaan mesra alam. Itu pun jika mereka diberi lebih pilihan dan kereta tersebut ditawarkan pada harga yang munasabah.

Dimulakan oleh Honda Malaysia menerusi Civic Hybrid sejak beberapa tahun lalu, pasaran kereta hibrid tempatan bakal dimeriahkan dengan kehadiran jentera hibrid paling popular di dunia, Toyota Prius.

Toyota Prius generasi ketiga yang dijangka dilancarkan pada awal Ogos ini sememangnya mempunyai tarikan yang sangat kuat. Buktinya? Disebabkan permintaan yang tinggi, kilang Toyota di Tsutsumi, Jepun terpaksa menghasilkan model ini pada tahap secepat yang boleh.

Situasi ini, pastinya dicemburui oleh hampir semua pengeluar kenderaan yang sedang bergelut dengan kerugian akibat kelembapan ekonomi global.

Secara fizikalnya, Toyota Prius diklasifikasikan sebagai sebuah hatchback. Dengan reka bentuk yang futuristik, ia juga sarat dengan pelbagai teknologi termaju.

Sebagai permulaan, anda perlu tahu cara keluar dan masuk ke dalam kereta ini. Menggunakan sistem kunci keyless entry, simpan sahaja kunci itu di dalam poket atau beg tangan.

Untuk membuka pintu Prius, ia sekadar menggosok tangan anda. Ini kerana sistem itu mengesan haba tubuh manusia. Masukkan tangan di celah gagang pintu. Dalam beberapa saat, anda akan mendengar kuncinya terbuka.

Untuk menguncinya pula, anda hanya perlu meletakkan jari di bahagian atas gagang pintu yang berlekuk. Kemudian, bunyi terkunci yang sama akan kedengaran. Ia memang sangat menarik!

Sebaik sahaja anda masuk ke ruang kokpit, mata anda pasti dihidang dengan barisan butang-butang yang tersusun kemas pada papan pemuka dan konsol tengah. Dimonopoli oleh rona hitam dan perak, sebahagian besar lokasi ini dipenuhi dengan plastik berkontur.

Tombol gear berwarna biru yang tertulis huruf P, B, N dan D lebih kelihatan seperti joystick konsol permainan video. Untuk mengoperasikannya, anda perlu menekan brek sebelum menolaknya ke arah D untuk memulakan perjalanan.

Paparan digital yang diletakkan pada aras mata pemandu menunjukkan pelbagai maklumat dalam bentuk digital seperti kelajuan, tahap penggunaan bahan api, masa, mode pemanduan dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan, grafik lengkap (energy monitor) dengan anak panah yang memaparkan sumber kuasa apa jentera ini digerakkan, sama ada kuasa enjin atau bateri. Monitor ini turut menunjukkan proses enjin atau bateri yang menggerakkan motor, selain bateri dicaj terutamanya ketika pemandu membrek.

Pada sterengnya pula, terdapat dua kelompok butang. Butang di sebelah kiri membolehkan anda mengawal sistem audio. Sementara butang di bahagian kanan pula berfungsi jika anda mahu menukar jenis maklumat Eco Driving Monitor pada paparan digital.

Selain itu, anda cuma letakkan jari ke atas butang-butang tersebut dan paparan berwarna hijau akan membantu anda membuat pilihan dengan lebih jelas.

Setelah enjin dihidupkan dengan hanya menekan butang PWR, Prius menawarkan pemandunya tiga mode pemanduan. Kesemua pilihan itu boleh dibuat dengan hanya menekan tiga butang yang disediakan.

Bagi mereka yang mahukan kuasa, tekan sahaja butang PWR Mode. Ciri ini akan membenarkan anda merasai peningkatan kuasa secara dramatik.

Maksudnya, apabila pedal minyak ditekan, kuasa yang tersedia adalah seperti kenderaan dengan kapasiti enjin 2.4 liter. Sedangkan enjin yang ada pada Prius cuma bersesaran 1.8 liter. Cukup mengagumkan!

Memang seronok dipandu dan kuasa yang ditawarkan tidak mengecewakan. Tetapi mode ini pastinya menjejaskan tahap penjimatan bahan api yang dimahukan. Namun, ciri itu penting jika anda memerlukan lebih kuasa ketika mendaki atau hendak memotong kenderaan lain.

Sementara itu, apabila butang ECO Mode ditekan, prestasi enjin Prius berada pada talaan atau maklum balas cuma 40 peratus sahaja. Ciri-ciri ini membolehkan pemandu mendapat tahap penggunaan petrol yang terbaik.

Apa yang pasti, ia memang direka untuk dipandu di kawasan bandar pada kelajuan sederhana dan inilah mode yang paling sesuai untuk kebanyakan masa.

Berada di jalan yang sesak atau di kawasan parkir, Mode EV menjadi pilihan paling sesuai. Mode ini membolehkan Prius bergerak menggunakan motor elektrik sepenuhnya.

Dengan kelajuan maksimum 45 km/j pada jarak satu hingga dua kilometer, Mode EV bagaimanapun tidak boleh berfungsi jika baterinya berada pada level 3 atau lebih rendah.

Ciri Head Up Display pula membolehkan paparan meter kelajuan digital dipancarkan ke cermin hadapan. Ia hanya boleh dilihat oleh pemandu dan saya merasakan fungsi ini, hanya sesuai untuk menunjuk-nunjuk kerana ia agak mengganggu pandangan.

Banyak perkara yang membuatkan pemandu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri ketika memandu Prius. Selain aplikasi gear dan butang-butangnya, pemandu juga terpaksa berpuas hati dengan tahap pandangan yang sedikit terhad ketika memandang ke arah belakang menggunakan cermin.

Prius menawarkan penggunaan bahan api yang cukup menjimatkan. Toyota mendakwa jentera hibrid ini mampu mencecah 38 kilometer bagi setiap liter.

Jika anda membelinya nanti, jangan lupa untuk menubuhkan kelab pemilik Toyota Prius. Anda mungkin boleh menjemput selebriti terkenal seperti Brad Pitt, Jack Black, Billy Joel dan Alicia Silverstone untuk menjadi ahlinya.

Walaupun saya beranggapan Prius sepatutnya dipasarkan sejak dahulu lagi, namun dengan anggaran harga sekitar RM190,000 seunit, pasti ramai yang terpaksa menyimpan hasrat untuk menjadi lebih ‘hijau’ di atas jalan raya.

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: