Revised pendirian kamu…

TAK HARAM SALAM PEREMPUAN

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
04/05/2009
http://www.ustjai.wordpress.com

 

1. Ramai di kalangan kita yang tentunya serba salah apabila seorang yang berbeza jantina dengan kita menghulurkan tangan untuk bersalam, apatah lagi apabila kita berada dalam majlis besar atau “flash” kamera berkelipan sedang mengambil gambar kita. Kita serba salah kerana takutkan dosa dan juga khuatir terhadap fitnah atau tohmah yang bakal melanda. Soalnya, apa pandangan Islam terhadap perkara seperti ini? Apakah benar ianya haram? Isu ini sebenarnya termasuk dalam isu fiqh yang kontroversi sebagaimana isu mendengar muzik.

2. Saya amat meminati pendekatan fatwa oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi. Walaupun saya juga mengenali ulama’ besar yang lain, namun hati saya lebih menyenangi cara beliau dalam mengutarakan sesuatu pandangan. Malah, Al-Qaradawi membezakan fatwa kepada dua iaitu Fatwa Aysar (lebih kepada memudahkan orang awam) dan Fatwa Ahwat (lebih mengutamakan sifat berhati-hati terutamanya bagi pihak yang faham dan “komited” dengan agama).

3. Apabila seseorang mengatakan bahawa bersalam di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ajnabi) hukumnya adalah haram, maka kita perlu bertanya kepadanya apakah dalil yang dia (atau mereka) miliki untuk mengatakan ianya haram. Untuk mengatakan sesuatu benda atau perbuatan itu haram, kita memerlukan dalil yang qat’ie (putus), soreh dan sahih. Tidak sepatutnya kita dengan mudah mengatakan sesuatu itu haram tanpa sokongan dalil yang kukuh.

4. Sebenarnya, berkaitan dengan perbuatan bersalaman antara lelaki dan perempuan (bukan mahram), tiada sebarang ayat Al-Quran mahupun hadith-hadith sahih yang disepakati para ulama’ hadith yang mengharamkannya. Jika terdapat sekalipun hadith-hadith tertentu, ianya tidak sunyi dari pertikaian para ulama (tidak disepakati). Bagi Al-Qardawi umpamanya, beliau mengatakan bahawa beliau sudah berusaha untuk mencari nas-nas syarak yang kuat dan menyakinkan namun tiada satu pun yang beliau temui.

5. Saya mendapati kebanyakan ulama’ kontemporari (termasuk Sheikh Muhammad Soleh Al-Munajjid) berhujah mengunakan hadith yang direkodkan oleh Al-Tabrani dan Al-Baihaqi sebagaimana diriwayatkan oleh Ma`qil ibn Yassar bahawa Rasulullah SAW telah bersabda dengan maksudnya, “Bahawa menyusukkan jarum besi ke dalam kepala seseorang daripada kamu adalah lebih baik daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya”. (Lihat Sahihul Jami’, hadith no. 4921)

6. Saya amat menyukai cara Al-Qaradawi mengulas hadith ini:-

a) Para Imam Hadith tidak mensabitkan kesahihan hadith ini walaupun ada di kalangan mereka yang mengatakan bahawa para perawinya adalah dipercayai tetapi tidak memadai (bagi Al Qaradawi) untuk menjadikan hadith ini sebagai sahih. Lantaran itu, kita tidak mendapati wujudnya di kalangan sahabat Nabi SAW yang menjadikan hadith ini sebagai sandaran mereka apabila melarang amalan bersalaman antara lelaki dan perempuan ajnabi.

b) Jika hadith itu sahih dan diterima sekalipun di sisi ulama’ tertentu, namun ianya masih tidak dapat meyakinkan Al-Qardawi bahawa hadith tersebut boleh digunakan sebagai dalil haramnya bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi. Ini disebabkan, perkataan “menyentuh” (dalam bahasa Arab – “Al-Mass”) tidaklah merujuk kepada perbuatan bersentuhan semata-mata tanpa diiringi dengan nafsu sebagaimana yang berlaku dalam kes bersalaman antara lelaki dan perempuan ajnabi, tetapi perkataan tersebut digunakan oleh Al-Quran dan hadith merujuk dua makna iaitu hubungan kelamin dan perbuatan bersedapan yang menjadi mukadimah kepada hubungan jenis contohnya; cumbu, peluk, raba, atau “gurau senda” yang seumpamanya.

Contoh ayat Al-Quran yang menggunakan perkataan “sentuh” dengan makna “hubungan jenis”, ialah Surah Al `Imran: ayat 47:-

قَالَتْ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي وَلَدٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ قَالَ كَذَلِكِ اللّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَاء إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya; Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”

7. Contoh satu lagi ialah Surah Al-Baqarah: ayat 237:-

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إَلاَّ أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ وَأَن تَعْفُواْ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَلاَ تَنسَوُاْ الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan

8. Al-Hakim merekodkan beberapa hadith dalam kitabnya Al-Mustadrak `ala As-Sahihain yang menunjukkan bahawa perkataan “lams” (sentuh) adalah dengan makna perbuatan-perbuatan yang mendahului hubungan jenis (istimta’)dan bukannya semata-mata menyentuh sahaja.

9. Kerana itu juga, Sheikhul Islam Ibn Taimiyah menganggap sebagai da’if (lemah) pandangan ulama’ yang mentafsirkan perkataan “mulamasah” (sentuhan) di dalam ayat Al-Quran dengan makna semata-mata sentuhan (antara lelaki dan perempuan) tanpa disertai dengan nafsu.

10. Sebagai kesimpulan, bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram:-

Pertama, hanya dibenarkan apabila tidak disertai dengan nafsu syahwat atau fitnah. Jika terdapat iringan nafsu syahwat, fitnah atau “keseronokan” maka, bersalaman yang demikian tetap menjadi haram. Tidak terkecuali, bersalaman antara mahram sekalipun, jika terdapat nafsu syahwat atau fitnah, ia juga menjadi haram.

Kedua, seboleh-bolehnya dihadkan hanya dalam lingkungan kaum keluarga dan orang yang mempunyai pertalian melalui perkahwinan dengan keluarga kita.

Ketiga, sebaik-baiknya, bagi orang yang komited dengan agamanya, berusaha untuk mengelak daripada bersalam dengan orang yang berbeza jantinanya (yang bukan mahram) sebagai mencontohi amalan Nabi SAW yang tidak pernah bersalam dengan perempuan bukan mahram. Sepertimana yang disebut dalam hadith-hadith berikut:-

“Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan”
(Riwayat Ahmad, 6/357; Sahihul Jami’, hadith no. 2509)

“Sesunggguhnya aku tidak menyentuh tangan perempuan”
(Riwayat Al-Tabrani dalam Al-Kabir, 24/342)

Hadith ‘Aisyah r.a. dengan maksudnya:-
Dan demi Allah! Sungguh tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali, tetapi baginda membai’ah mereka dengan perkataan sahaja.
(Riwayat Muslim)

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
04/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

 

Ulasan

Tak salah untuk kita berbeza pendirian… bagi saya, saya tetap berpendirian untuk tidak bersalaman dengan bukan mahram…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: