Isu agama anak dan respon mereka yang ahli setakat ini…

Ini adalah beberapa artikel yang telah saya perolehi daripada blog-blog berikut. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan…

Empat Isu Semasa : Ulasan Ringkas

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Terdapat beberapa isu semasa yang saya tidak sempat untuk memberikan respon, walaupun agak ramai yang meminta ulasan. Isu-isu semasa yang berkait dengan Islam seperti keputusan kabinet untuk membiarkan anak kekal dalam agama masing-masing walau selepas ibu bapanya memeluk Islam, penggunaan nama Allah bagi penganut Kristian, orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran dan isu bahasa Melayu untuk pengajarn sains dan matematik.

Bagi tidak menghampakan mereka yang bertanya dan menjelaskan pandangan saya, tulisan ini dibuat, namun disebabkan oleh kekangan masa dan memandangkan agak ramai ilmuan Islam telah menulis berkenaan hal ini, saya tidak akan menghurai panjang lebar beserta dalil, cukup sekadar menjelaskan pandangan saya sebagai menjawab soalan ringkas dari mereka yang bertanya.

PERTAMA  : ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN

Isu ini timbul dari kempen ceramah politik pakatan rakyat di pilihanraya Kecil Bukit Gantang, terdapat dua kelompok masyarakat Islam ketika mengamati peristiwa ini. Pertama : Yang tidak bersetuju serta menganggap ia sebagai penghinaan khususnya disebabkan kesilapan sebutannya dan nama surah. Kedua : yang tidak melihat sebagai satu kesalahan malah menganggapnya sebagai satu kelebihan buat Islam.

Setelah mendengar sendiri ucapan Yang Berhormat yang berkenaan di youtube, dan setelah meneliti hujjah kedua-dua kelompok, saya secara peribadi dan atas dasar ilmiah, tidak nampak sebarang masalah yang besar atau yang boleh dihebohkan.

Ia adalah kerana :-

1)   Banyak dalil jelas menunjukkan bukan Islam turut membaca sama ada secara tertutup atau terbuka ayat-ayat al-quran di zaman Nabi sa.w. Malah ayat-ayat al-Quran digelar mu’jizat (sesuatu yang mencarik adat dan luar biasa serta melemahkan musuh), apabila ayat-ayatnya diteliti oleh ahli sastera kafir quraisy, tatkala itulah baru mereka mendapati Al-Quran adalah sebuah kalam Allah dan bukan hasil pemikiran manusia.

2)   Nabi s.a.w turut menghantar surat yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran kepada pemimpin bukan Islam di zamannya. Tentunya ia dibaca dan sememangnya untuk diwarwarkan.

3)   Ayat Al-Quran juga turut dibaca oleh Umar al-Khattab semasa beliau belum Islam. Akhirnya menjadikannya Islam.

4)   Ayat yang dibaca bukan dalam intonasi dan situasi menghina tetapi adalah untuk menegaskan intipati keperluan kepada kesaksamaan dan keadilan dalam kehidupan. Benar, ia adalah satu penghormatan dan bukan penghinaan.

5)   Kesalahan sebutan dan nama surah, adalah dimaafkan bagi mereka yang dalam pembelajaran, apatah lagi orang bukan Islam. Terlalu ramai umat Islam yang masih gagal membaca al-Quran dengan betul malah ramai juga yang langsung tidak mampu membacanya. Tun Dr Mahathir turut pernah menyebut nama surah  dengan sebutan yang salah, ketika menyampaikan ceramah umum beliau di Nilam Puri pada tahun 1993, semasa beliau menghentam PAS yang ingin memperkenalkan hudud. Saya berada di sana ketika itu, namun tiada rakaman yang boleh dikongsikan.

KEDUA : PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRISTIAN

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelabagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang membenarkan penganut kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat dari hujah kumpulan yang menolak.Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada penegrtian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali  penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk  kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi Bible yang wujud hari ini bukannya injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as.

TETAPI ..

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari’yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU PENGHARAMAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah digunakan oleh pihak Kristian.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini. Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Ye di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat.

Terutamanya apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu. Kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang dirasakan akan mempermainkan dan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa.  Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, eloklah ia dilarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar’iyyah.  Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun dari sudut mudarat, ia wajar dilarang sama ada dalam tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu bagi menhindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang lemah.

KETIGA :  ANAK KEKAL DALAM AGAMA ASAL

Berlaku lagi isu yang dianggap sensitif berkait isu agama, sebagaimana kes jenazah individu yang dipertikai sama ada telah menganuti Islam atau tidak semasa hayatnya.

Merujuk kepada laporan akhbar tempatan, keputusan kabinet Menteri memutuskan bahawa setiap ibu bapa yang menukar agamanya ke agama lain, anak-anak mereka yang dibawah umur tidak akan bertukar secara automatik, malah mereka akan kekal dalam agama asal sehinggalah mereka dewasa dan membuat keputusan sendiri selepas itu.

Pelbagai artikel ditulis dalam hal ini, saya tidak berhasrat untuk mengulang-ulang apa yang telah ditulis. Fatwa dari empat mazhab turut disertakan. Secara ringkasnya, majoriti mazhab berpandangan anak akan menjadi Islam secara automatik sama ada ayah atau ibunya menganuti Islam. Manakala mazhab Maliki pula hanya meletakkan kemasukkan Islam secara automatik itu hanya berlaku jika si ayah yang menganuti Islam. Justeru itu, menurut pandangan keempat-empat mazhab, kes  yang berlaku di Malaysia ini, anak turut automatik menjadi Islam.

Bagi yang berminat membaca lanjut boleh merujuk di link berikut .

PKPIM juga ada mengeluarkan kenyataan yang baik, disamping menyertakan beberapa kes lama yang boleh dijadikan panduan dalam menetapkan sikap terhadap kes terbaru ini, iaitu :-

“Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.

“Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga.

“Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,”

Secara kesimpulan, sudah tentu saya cenderung kepada pendapat majoriti yang menganggap secara autoamtik anak-anak menjadi Islam. Namun demikian adalah lebih tepat dan hikmah jika si suami dapat mengambil keputusan bijak mengelakkan isu ini dibawa ke mahkamah dan berusaha sedaya mampu mengajak isterinya tuurt serta menganuti islam sebagai cara hidup mereka. Dapatkan bantuan bijak pandai antara agama jika perlu.

Selain itu amat wajar untuk pihak berkuasa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum melakukan sebarang kenyataan umum berkait isu Islam. Saya bersetuju dengan pendapat Mufti Perak bahawa isu ini memerlukan perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan,

Namun masalah yang paling ketara jika dirujuk ke Majlis Fatwa adalah tidak pasti bilakah mereka mampu memberi respond dan jawapan. Wallahu’alam.

KEEMPAT : ISU PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS BAGI MENGAJARKAN MATEMATIK DAN SAINS

Ini juga isu hangat yang ditanyakan kepada saya, namun saya tidak mampu memberikan banyak idea berkenaan isu ini khususnya kerana ia adalah satu isu yang lebih dominan berkaitan keputusan politik dalam sesebuah negara.

Apa sahaja yang diputuskan oleh pihak kerajaan sememangnya perlu berdasarkan hasil kajian terperinci teori dan praktikal, kesan dan target, perbincangan peringkat atasan, ahli akademik, guru, murid, ibu bapa dan ahli politk. Hanya selepas ini semua dilalui, barulah pihak kerajaan patut memutuskan keputusan. Bagi saya, itu cara terbaik jika sesebuah kerajaan menghormati minda dan idea rakyatnya. Malah setiap keputusan yang diambil pula tidak semestinya tidak boleh dibuah, boleh sahaja dicuba beberapa tahun dan dilihat kesan buruk dan baiknya, kemudian ia terbuka kepada pindaan dan perubahan. Yang menjadi maslaah hari ini, kerajaan mungkin malu untuk membuat penilaian dan pindaan kerana bimbang akan dituduh sebagai flip flop dan yang sepertinya.

Perlu diingat, tekanan politik yang menghentam sehingga terlebih had, sehingga bertindak dan tidak bertindak, kedua-duanya akan dihentam, bakal membawa kerugian kepada banyak pihak. Ada kalanya terdapat individu yang ingin melakukan perubahan kebaikan, tetapi membatalkannya kerana tidak mahu dihina dan dimalukan akibat dituduh flip flop selain dianggap tidak cekap dalam membuat keputusan politik. Padahal, keputusan untuk sesebuah negara bukan mudah, malah dengan kajian sekalipun, ia mungkin sahaja tersilap atau berubah berdasarkan keperluan dan zaman.

Malah para ulama sendiri pun banyak yang terpaksa mengubah fatwa dan pendirian apabila mendapat info baru. Seperti Imam As-Syafie yang mengubah beberapa fatwanya ketika berada di Mesir. Adakah ini menjadikan Imam Syafie rh, flip flop dan tidak cerdik.? Tidak timbul isu tidak cerdik sebenarnya, itulah adalah sifat kemanusiaan biasa yang ilmu kita terbatas.

Lihat sahaja, kerajaan Britain hari ini, bajet terbaru menyaksikan pihak parti pemerintah terpaksa mematahkan janji manifestonya untuk tidak menaikkan cukai pendapatan individu, tetapi bajet pada minggu lepas (April 2009) menyaksikan mereka terpaksa menaikkan juga cukai individu kaya. Hasilnya, mereka dilanyak sepuas hati oleh pembangkang yang diketuai oleh David Cameroon. Itulah politik kepartian yang merugikan banyak pihak jika tidak ditangani dengan baik.

Bagi saya secara peribadi, tiada pandangan yang lebih saya cenderung kerana saya tidak punyai data yang mampu menyokong atau menolak. Saya telah baca banyak tulisan sokongan dan bantahan, tetapi semuanya tidak cukup untuk saya menetapkan keputusan buat masa ini.

Semoga apa yang dicoretkan mampu memberi sedikit sebanyak manfaat buat anda.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

28 April 2009

Source

http://www.zaharuddin.net/content/view/827/72/

Pandangan Dr Mohd Asri Mengenai Isu Agama Anak

Disiarkan pada Apr 29, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |

PANDANGAN DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN MENGENAI KEPUTUSAN KABINET YANG MENETAP AGAMA ANAK BERDASARKAN AGAMA ASAL KETIKA PERKAHWINAN

Berbagai pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;

  1. Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.
  2. Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
  3. Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak. Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.
  4. Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.
  5. Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya. Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang.
  6. Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan. Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.
  7. Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.
  8. Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka. Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.
  9. Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.
  10. Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.
  11. Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.
  12. Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa mereka Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.
  13. Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin,
29.4.09 Lampeter, UK.

Source

http://drmaza.com/home/?p=594

PENENTUAN AGAMA ANAK
HAK PENJAGAAN IBU/BAPA
YANG BELUM ISLAM
Islam adalah agama a’dalah [ yang adil ] dan rahmah [ kasih sayang ] . Ertinya ia bukan agama yang kasar , keras dan memutuskan hubungan kekeluargaan . Malah Islam juga tidak boleh memaksa sesiapa jua untuk menganutnya .
Andai wujud individu atau keluarga yang menganut ajaran Islam secara sukarela , maka Islam menerima kehadhirannya dengan penuh kasih sayang dan rasa mahabbah terhadap saudara baru . Lantaran itu ahli keluarganya yang lain [ yang belum Islam ] tidak perlu bimbang kerana dua sebab .
a – Ia akan diterima sebagai saudara baru dan diberikan segala haknya sebagai insan yang mulia kerana aqidahnya.
b – Keselamatan dan kebahagiaannya terpelihara tanpa mereka dipisahkan dari keluarga asal [ ibubapa atau anak ] biarpun mereka tidak turut menganut ajaran Islam .
Saya yakin dunia jelas menerima hak ibu dan bapa yang memeluk ajaran Islam ke atas anaknya dan tidak timbul permasaalahan seperti merebut hak penjagaan dan beragama kerana mereka [ suami isteri / ibubapa ] berdua telah memeluk ajaran Islam secara rela . Secara automatiknya anak akan mengikut kedua – dua ibu dan bapanya tanpa siapa berhak untuk menghalang .
Namun apabila saya membaca ketetapan yang dikemukakan oleh kabinet dalam hal ini , jelas saya lihat ia tidak berlaku adil secara menyeluruh pada semua keadaan . Asal sahaja umur anak itu bawah daripada 18 tahun maka ia mestilah mengikut ugama asal . Inilah adalah ketetapan yang salah , terburu – buru dan merugikan ummat Islam .
Sekalipun pihak kerajaan mahu menjaga sentimen golongan non muslim , ketetapan tidak boleh di buat sedemikian rupa sebaliknya budi bicara , rundingan dan semangat toleransi masih boleh digunakan untuk menyelesaikan masaalah sukar dan sensitif begini .
Tambahan pula ketetapan yang diputuskan oleh kabinet adalah dengan tidak memperdulikan Jabatan Mufti serta tokoh – tokoh agama yang berselerak dalam negara ini untuk mendapatkan pandangan mereka sebelum bertindak membuat keputusan . Tindakan kabinet tidak mesra ulama’ dan tidak mesra agama .
Saya juga percaya , andai kita membuat penjelasan dan pendetailan hukum yang berkaitan tanpa disulam rasa jengkel atau permusuhan terhadap mereka [ non muslim ] nescaya mereka boleh menerima dengan lapang dada kerana kini mereka telah sedia memahami kebaikan dan keadilan islam sebagai cara hidup masyarakat .
Kedudukan agama anak
Imam al-Bukhari di dalam Sohehnya menaqalkan dari Hasan al-Basri, Syuraih, Ibrahim dan Qatadah yang berkata; jika telah Islam salah seorang dari dua ibu-bapa, maka anak hendaklah bersama ibu/bapanya yang Islam.

Ibnu ‘Abbas (semasa kecilnya) tinggal bersama ibunya (yang Islam) berserta golongan mustadh’afin (yang menganut Islam) dan beliau tidak tinggal bersama bapanya yang masih menganut agama kaumnya (yakni agama musyrik). Dan beliau (yakni Ibnu ‘Abbas) menegaskan; “Islam adalah tinggi dan tidak ada yang boleh mengatasi ketinggian Islam”.

(Soheh al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta..).

Imam al-Khattabi menjelas; “Anak yang masih kecil jika ia berada di antara seorang muslim dan seorang bukan Islam , maka yang muslim lebih berhak terhadapnya”

(Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, jil. 3, kitab al-Hadhonah, hlm. 467).

Dalam membahaskan; adakah harus hak penjagaan (hadhonah) diberikan kepada ibu atau bapa yang tidak Islam jika salah seorang dari suami atau isteri memeluk Islam dan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu/bapa yang tidak Islam kerana hadhonah adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang tidak Islam ke atas orang beriman (yakni orang beriman tidak harus perjalanan hidupnya dikuasai atau ditentukan oleh orang bukan islam ). Ini sebagaimana firman Allah;

“Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang bukan Islam untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (an-Nisa’; 141).

Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki bukan Islam kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang bukan Islam .

Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang bukan Islam sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi”.

(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut ulamak ialah Islam. Hadis ini menjelaskan bahawa bayi yang lahir asalnya adalah Islam, cuma dengan pengaruh ibu/bapanya maka ia berubah mengikut agama ibu/bapanya. Maka jika ibu/bapanya memeluk Islam, maka ia otomatik akan kembali kepada fitrahnya (Islam) dengan mengikuti ibu/bapanya yang memeluk Islam.

Hadis di atas juga menjelaskan pengaruh ibu/bapa ke atas anak. Oleh itu, tidak harus mana-mana individu menyerahkan anaknya untuk diasuh oleh isteri/suaminya yang bukan Islam kerana nanti anaknya itu akan dipengaruhi untuk menganut agama bukan Islam. Ia wajib memelihara masa depan agama anaknya dan kewajipan ini termasuk dalam arahan Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka” (at-Tahrim; 6)

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; hak penjagaan (hadhonah) harus diberikan kepada ibu yang masih belum Islam sehingga anak mencapai tujuh tahun. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

a) Kekufuran ibu itu bukan kerana murtad (yakni ia adalah asal tidak Islam)
b) Tidak dibimbangi ia akan menjejaskan agama anak tersebut ( iaitu islamnya).
c) Tidak dibimbangi ia akan memberi makan makanan yang haram kepada anak

Jika ada kebimbangan tersebut, maka hak penjagaan tidak harus diberikan kepada ibu yang tidak Islam itu atau ditarik balik jika hak itu telah diberikan.

Apa yang jelas ialah Islam tidaklah menghalang secara mutlak akan hak penjagaan ibu atau bapa non muslim terhadap anak apabila salah seorang dari mereka memeluk ajaran Islam , melainkan meletakkan syarat yang ketat demi menjamin agama dan kesejahteraan insaniah mamnusia itu sendiri .

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 2, hlm. 164, bab al-Hadhanah.
2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, jil. 3, hlm. 226, maudhu’; al-Hadhanah.
3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, hlm. 220, maudhu’; al-Hadhanah.
4. Soheh al-Bukhari, Imam al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta…
5. Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, Syeikh Abi Abdillah Abdissalam ‘Allawish, jil. 3, hlm. 467, kitab al-Hadhonah.
6. Ahkam al-Aulad Fi al-Islam, Syeikh Zakariya Ahmad al-Barri, hlm. 43.
7. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat), Siti Zalikhah Md. Nor, hlm. 126-129.

Posted by Ustaz Nasrudin Tantawi at 01:49

Source

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/04/agama-anak-dan-hak-penjagaannya.html

DRAF CADANGAN PENYELESAIAN ISU MOHD RIDZUAN ABDULLAH DAN KELUARGA

1. PENDAHULUAN
Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah
a- Status agama tiga orang anak beliau [ iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun). ]
b- Hak penjagaan anak.
c- Status perkahwinan selepas pengislaman.
2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM
2.1 – Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.
Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:
Pandangan Pertama:
Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.
Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].
Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:
عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ  قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .
Daripada A’idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.”
Pandangan Kedua:
Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.
Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
2.2 – Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini
Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.
Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.
Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:
a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].
b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]
c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.
3. HAK PENJAGAAN ANAK
3.1 – Pendapat Ulamak
Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.
Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.
Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa’ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:
حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]
Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut).
Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).
Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:
1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)
2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].
3.2 – Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku
1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.
2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.
4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI
4.1 – Pendapat Para Ulama
Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya).
Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].
Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].
Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.
4.2 – Hak Pemberian Nafkah[11]
a – Nafkah kepada anak
Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.
b – Nafkah kepada isteri
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.
Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Disediakan oleh :
Fellow MANHAL PMRAM 2009
Hasil kajian:
1. Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jofree
2. Al Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
3. Al Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
4. Al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain
[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.
[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.
Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.
Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.
[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah
[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.
[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985
[8] Bada’ie Sana’ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.
[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.
[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.
[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 – 409, jilid 7.
Nantikan ulasan lanjut berkait isu ini . Akan terbit Isnin nanti !

Posted by Ustaz Nasrudin Tantawi at 04:09

Source

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/04/isu-status-agama-anak-bawah-18th.html

Ulasan

Mulanya nak release artikel ini selepas pulang daripada bercuti tetapi memandangkan isu ini adalah isu yang sensitif yang telah menimbulkan kegusaran dan kegelisahan buat mereka yang beriman maka saya kira saya perlu mereleasekan artikel ini secepat mungkin. Semoga ada manfaat dan semoga isu ini dapat diselesaikan segera oleh mereka yang ahli.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: