Sempena Maulidur Rasul

Mencintai Nabi Bukan Dengan Cara Menyambut Maulid Nabi

http://an-nawawi.blogspot.com/

Lembaran kalendar untuk bulan 3 (Mac) bagi tahun ini (2009 M), terlihat sebuah tandaan pada tanggal 8 bahawa jatuhnya tarikh untuk maulid Nabi. Saban tahun maulid nabi disambut pada tarikh 12 Rabbi’ul Awwal oleh masyarakat kita dari kalangan umat Islam. Ini bermakna, lebih kurang 10 hari sahaja lagi sambutan ini akan dilangsungkan oleh kalangan masyarakat di sini umumnya. Tidak hairanlah, ketika menatap forum-forum di internet dan ketika terlihat beberapa iklan di akhbar-akhbar tertentu ada sebahagiannya yang memainkan slogan-slogan “cinta Rasul”.

Sambutan ini kelihatannya seakan-akan semakin meriah dari tahun ke tahun. Kebiasaannya ia disambut dengan pelbagai pengisian dan tatacara adat mengikut perkembangan zaman. Di antaranya adalah dengan mengadakan bacaan berzanji di setiap masjid sempena beberapa hari menuju tarikh 12 Rabbi’ul Awwal (countdown), mengatur dan mengadakan upacara perarakan dari sekian tempat ke tempat-tempat tertentu dengan melaung-laungkan selawat berserta bacaan marhaban atau berzanji, juga dengan perarakan tersebut disertai mengangkat pelbagai jenis sepanduk slogan cinta Nabi, mengadakan ceramah-ceramah khas berkenaan sekitar mencintai Nabi atau seumpamanya yang berkaitan dengannya.

Selaras dengan perkembangan zaman yang semakin maju dan bercambahnya pemikiran yang global lagi terbuka, pada tahun ini acara maulidur rasul bakal disambut dengan sebuah upacara konsert yang bakal menampilkan artis-artis dari kalangan ustaz dan ustazah terkenal tanah air. Tidak terkecuali, kumpulan-kumpulan nasyid tanah air turut mengambil tempat dalam persembahan dan upacara tersebut. Katanya, upacara konsert tersebut bakal dibuka dengan alunan lagu-lagu berzanji dan selawat. Wallahu a’lam… Ini adalah sebagaimana yang sempat saya lihat beberapa hari yang lepas melalui sebuah rancangan temubual berkenaan sambutan maulid kali ini yang mana akan dimeriahkan dengan konsert “Sinar Malam MaulidurRasul” melalui salah satu saluran televisyen live dari sebuah stadium.

Hakikatnya, pada tarikh maulid nabi (birthday nabi) itu sendiri terdapat sebuah isu yang menjadi perbincangan di kalangan ulama. Iaitu tiada pendapat atau kata sepakat bagi menetap tarikh kelahiran Nabi itu sendiri. Ada yang menguatkan dengan tarikh lahir yang sebenar adalah pada 8 Rabbi’ul Awwal, ada yang menguatkannya dengan tarikh 9, dan ada yang menyatakan dengan tarikh 12 Rabbi’ul Awwal. Malah, ada yang mengambil keputusan bahawa, tidak diketahui dengan tepat akan tarikh kelahirannya kerana pada zaman tersebut belum ada lagi sistem kalendar yang sistematik berlangsung. Malah, riwayat-riwayat berkenaan dengannya juga saling diperlisihkan di kalangan ulama.

Jadi, persoalannya… bagaimana sambutan perayaan maulidur rasul ini boleh muncul dengan suburnya di kalangan masyarakat kita? Ini adalah antara yang menjadi persoalan. Sehingga ada yang menganggap amalan menyambut maulidur rasul ini merupakan amalan sunnah yang sangat-sangat dituntut di setiap tahun pada tanggal 12 Rabbi’ul Awwal. Sedangkan, tidak ada langsung riwayat dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menganjurkan diadakan perayaan ini. Malah, begitu juga ketika di era sahabat yang diredhai, ianya juga tidak pernah wujud. Sungguh aneh sekali, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah pun wafat, tetapi hari lahirnya tetap menjadi sambutan saban tahun dan menjadi titik tarikh kemeriahan. Ini kelihatannya tidak ubah umpama kaum Nashrani/Kristian yang menyambut hari natal (Chrismas) di setiap tanggal 25 Disember bagi meraikan kelahiran Jesus (Isa) yang mana turut tidak pernah ada anjurannya dari Isa ‘alaihis Salam sendiri dan melaui kitab-kitab utama agama mereka (seperti Bible).

Telah tsabit dari hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud rahimahullah bahawa perayaan dalam Islam hanya ada dua, dan tidak ada lagi selainnya, di mana Nabi telah menjelaskan “Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik dari dua hari tersebut (perayaan jahiliyyah) dengan hari raya al-Adha (korban) dan Hari raya al-Fitr.”

Tetapi, sambutan besar-besaran maulidur Rasul (Birthday Nabi) tetap juga disambut dengan semeriah-meriahnya sambutan perayaan saban tahun. Dengan di dalam sambutannya dilaungkan selawat-selawat memuji Nabi dengan selawat-selawat yang kebanyakannya adalah selawat “versi baru” yang tidak pernah ditemui di dalam hadis-hadis yang sahih/tsabit dari tunjuk ajar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Iaitu, mereka dari kalangan yang kebanyakannya merayakan sambutan “Birthday Nabi” ini mengambil rangkap/lafaz selawat yang telah diubah-suai selawatnya dengan sama ada menambahnya atau menguranginya. Rangkap-rangkap selawat yang pendek dijadikannya begitu panjang dan sukar untuk dilafazkan. Mereka turut meletakkan lafaz pujian kepada Nabi dengan perkataan yang ghuluw (melampau) sehingga ada yang seakan-akan menganggap nabi seperti Tuhan. Sedangkan Nabi sendiri telah melarang perbuatan seperti itu. Di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan di dalam salah satu hadisnya sebagaimana berikut:

“Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nashrani telah melakukannya terhadap Isa anak Mariam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka katakanlah, “(Muhammad) Hamba dan Pesuruh Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Manakala berkenaan tambahan-tambahan lafaz di dalam sebahagian selawat ke atas nabi dengan tambahan Sayyidina, maulana, habibina, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri menjelaskan di ketika mana ada seorang lekaki memanggilnya dengan panggilan “Ya Sayyidina ibni Sayyidina”:

“Wahai manusia, hendaklah kamu bertaqwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya engkau adalah Muhammad bin ‘Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya, dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah ‘Azza wa Jalla tentukan bagiku.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Musnad, no. 12551)

Dalam perkara ini, Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah menyatakan:

Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (imam besar Mazhab Syafi’i – pen.) pernah ditanya berkenaan kalimat selawat untuk Nabi yang dibaca dalam solat dan di luar solat, sama ada yang wajib atau pun yang sunnah/sunat:

“Adakah dalam ucapan selawat itu disyari’atkan menggunakan kata-kata Sayyid, seperti orang mengatakan “Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad” atau “’ala sayyidina khalqi” atau “‘ala sayyid waladi” atau hanya menggunakan kata-kata “Allahumma shalli ‘ala Muhammad”. Manakah yang lebih baik daripada ucapan-ucapan itu? Apakah digunakan kata-kata sayyid atau tidak menggunakannya kerana tidak tersebut dalam hadis-hadis.”

Jawab al-Hafiz Ibnu Hajar: “Benar, mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sehingga ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan shalallahu ‘alaihi wasallam. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam. Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, niscaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat seperti itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka. Al-Syafi’i rahimahullah sebagai seorang yang sangat memuliakan Nabi shalallhu ‘alaihi wasallam juga tidak menyebutkan kata sayyidina dalam awal pembukaan (muqaddimah) kitabnya. Padahal al-Syafi’i adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau (al-Syafi’i) hanya menyebutkan “Allahumma shalli ‘ala Muhammad.” (Dinukil dari Syaikh Muhammad Nashidruddin al-Albani, Kitab Sifat Sholat Nabi, , Terbitan Media Hidayah, m/s. 215-216)

Begitulah sedikit penjelasan berkenaan dengan tambahan lafaz-lafaz selawat ke atas Nabi. Di dalam riwayat-riwayat hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah mengajarkan bentuk-bentuk selawat yang disyari’atkan, dan begitu jugalah para salaf (generasi terawal dari kalangan sahabat) melakukan selawat ke atas Nabi (sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi sendiri dengan tidak menokok tambahnya). Maka, tiada ruang bagi kita untuk mereka-cipta bentuk-bentuk selawat yang baru. Sekiranya di antara kita mereka-cipta bentuk-bentuk selawat yang baru dan tersendiri dengan meninggalkan lafaz-lafaz selawat yang sahih dan tsabit dari Nabi, maka, hilanglah fadhilat-fahilat selawat yang diberikan melalui hadis-hadis yang sahih. Malah, ia bukan sahaja telah lari dari tuntutan sebenar berselawat, tetapi sekaligus ia mencipta bentuk beragama (mencipta syari’at) yang baru, seakan-akan ia lebih pandai dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malahan juga, dia turut meninggalkan jejak langkah amalan para Salafus Soleh dari kalangan sahabat-sahabat yang diredhai yang begitu kuat berpegang dengan petunjuk Nabi dan begitu mencintai beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana Allah subhanahu wa Ta’ala sendiri telah menjelaskan supaya kita sentiasa mengikuti generasi terawal dalam mengambil agama sebagaimana berikut (maksudnya):

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Pada masa ini, apa yang turut menyedihkan adalah apabila rangkap-rangkap selawat (termasuk zikir-zikir) ini bukan sahaja diubah-suai, malahan turut juga dilagukan dan dinyanyikan, sekaligus dipersembahkan di pentas-pentas konsert. Terutamanya di dalam majlis-majlis yang didakwa sebagai majlis keagamaan dan termasuklah sambutan maulidur Rasul saban waktu dan tahun. Tidak cukup dengan dilagukan, ia turut diperindahkan menurut hawa nafsu mereka dengan alunan-alunan muzik kontemporari. Bentuk-bentuk selawat yang asalnya diberikan oleh Nabi kita sebagai Ibadah, kini telah ber-evolusi menjadi bahan untuk berhibur dan mengaut keuntungan, malah bercampur-baur dengan apa yang telah diharamkan. Di manakah adab kita sebagai pengikut Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Sungguh perbuatan ini telah jelas-jelas melanyak-lanyak dalil-dalil agama yang murni lagi sempurna.

“Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf, 7: 205)

Manakala di dalam hadis, Nabi shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan:

“Akan ada dari umatku kaum yang menghalalkan zina dan sutera, khamr (minuman keras) dan alat-alat muzik….” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Dan di dalam tafsir Ibnu Katsir (tafsiran ayat 6 Surah Luqman) turut menjelaskan perkataan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu yang menyatakan bahawa nyanyi-nyanyian adalah termasuk perkataan yang tidak berguna.

Tetapi, begitulah yang telah berleluasa pada hari ini. Mereka telah pun menjadikan nyanyi-nyanyian sebagai sebahagian dari agama-agama mereka. Wallahu a’lam.

Menyentuh berkenaan amalan membaca berzanji dan marhaban di dalam masyarakat kita, adalah lebih baik supaya amalan ini dikaji dan diteliti semula dengan sebaik-baiknya. Ini adalah kerana, di dalam kitab berzanji itu sendiri mengandungi fakta-fakta yang jauh dari kebenaran, fakta-fakta yang menyimpang dari dasar aqidah yang benar, dan tidak keterlaluan jika saya katakan di sebahagian tempat dari kalangan masyarakat kita ini mereka menganggap bahawa membaca kitab berzanji ini sebagai sebahagian dari ritual beragama dan membacanya mendapat ganjaran pahala yang besar. Malah, sehingga ada di antara mereka yang menetapkan gaya lagu tertentu ketika membacanya. Tidak lain, sebenarnya perkara ini selain dari perbuatan yang membawa kepada kebatilan, ia turut mengajak kita berpaling dari menghayati al-Qur’an dan as-Sunnah.

Sekali lagi, saya menimbulkan sebuah persoalan di sini. Apakah dengan perayaan “Birthday Nabi” ini mampu merealisasikan slogan “Menyemarakkan cinta kepada Nabi”?

Setelah mana pelbagai pelanggaraan syari’at berlaku dengan tidak terkawal di dalam perayaan itu sendiri. Adakah Nabi kita mengajak kita merayakan hari perayaan sedemikian rupa? Apakah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ataukah para sahabat-sabahat beliau yang diredhai pernah mewasiatkan supaya diadakan perayaan-perayaan bentuk baru bagi membangkitkan semangat rasa cinta kepadanya?

Maka, bentuk-bentuk baru dan ritual-ritual baru dalam melahirkan rasa cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihiwa Sallam sebagaimana yang berlaku melalui perayaan “Birthday Nabi” (Maulid Nabi) ini sewajarnya perlulah dikaji dan diteliti semula. Adakah ianya menepati dengan kehendak Nabi kita serta syari’at Islam itu sendiri.

Dengan serba sedikit penjelasan isu-isu di atas tadi, kita tinggalkan ia dan kembali bermuhasabah dengan melihat kembali hakikat sebenar mencintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Pertama-tamanya, marilah kita kembali dan kita fahami bahawa perbuatan mencintai Nabi itu adalah termasuk ke dalam hakikat iman. Ini adalah sebagaimana Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut,

“Tidak (sempurna) Iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan manusia lain seluruhnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (dari) berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA (azab seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).” (Surah at-Taubah, 9: 24)

Mencintai dan mencontohi Nabi termasuk ke dalam tuntutan beragama (mencintai Allah) berdasarkan firman Allah berikut (maksudnya):

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (surah al-Ahzaab, 33: 21)

Dengan menghayati maksud ayat-ayat di atas, adakah kita telah mengikuti contoh sebagaimana yang dikehendaki bagi merealisasikan fokus mencintai Allah dan Nabinya? Adakah kita telah benar-benar mengikuti dan mencontohi Nabi dalam beragama? Adakah apa yang telah kita lakukan di dalam amalan-amalan beragama kita menepati sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Di dalam merealisasikan slogan “Cinta Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihiwa Sallam)” apa yang paling penting adalah dengan melihat kembali diri-diri kita adakah kita telah benar-benar mengikuti Sunnahnya. Sejauh manakah sunnah-sunnahnya yang diberikan kepada kita telah kita hayati dan amalkan dengan sebaik-baiknya.

Maka, dengan ini apa yang pertama-tamanya lagi priority supaya sewajarnyalah kita sentiasa menyemak bagaimana kita bertauhid, apakah telah benar sebagaimana Nabi kita mengajarkannya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut”.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Berkenaan dengan ayat ini, Imam Ibnu Katsir rahimahullah di dalam tafsirnya menjelaskan:

“Allah sentiasa mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa seruan (ajakan) itu semenjak mula munculnya kemusyrikan (syirik) pada anak cucu Adam ‘alaihis Salam, iaitu di era Nabi Nuh ‘alaihis Salam yang Allah mengutusnya kepada mereka. Dan beliau adalah Rasul pertama yang Allah utus kepada penduduk bumi sehinggalah Dia menutup para Nabi dan Rasul dengan mengutus Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada jin dan manusia. Sama ada yang berada di bumi bahagian barat, atau pun yang berada di timur.

Dan setiap Rasul mempunyai tugas yang sama, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawasanya tidak ada Ilah (Tuhan yang berhak disembah dengan benar – pen.) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25)” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Maka, dengan itu hendaklah kita istiqomah di dalam bertauhid sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekaligus menjauhi pelbagai jenis penyimpangannya dan menghindari kesyirikan yang banyak berleluasa. Dengan sebab itu juga, penekanan haruslah ditumpukan dalam persoalan ini yang merupakan tujuan utama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutuskan kepada kita semua.

Setelah memenuhi dan memahami tuntutan-tuntutan tauhid, seterusnya ia akan membawa kita supaya sentiasa mengambil dan melaksanakan Sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam pelbagai aspek. Di dalam mengamalkan sunnah, hendaklah kita berhati-hati dari berlebih-lebihan terhadapnya iaitu dengan tidak menokok tambah dan mengubahsuai sunnah tersebut. Hendaklah kita mengamalkan agama ini sebagaimana yang diperintahkan dan diajarkan olehnya. Termasuk di dalam rangkuman Sunnah, hendaklah kita meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di dalam kaedah ushul fiqh, terdapat suatu kaedah sebagaimana berikut,

“Perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam meninggalkan sesuatu perbuatan di dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan (melakukannya), ia di sini menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bid’ah”. (Min Usul al-Fiqh Inda ahlil Hadis, 1/82)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan sabdanya:

“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (di dalam urusan agama), setiap perkara yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap perkara yang bidaah adalah sesat.” (Hadis riwayat Muslim)

Apabila kita telah memahami sesuatu itu adalah sunnah dan kebenaran, hendaklah kita berusaha untuk mengamalkannya sekaligus menyampaikannya kepada yang lain.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh dan saling nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-‘Ashr, 103: 2-3)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

“Hendaklah orang yang yang hadir (pada hari ini) menyampaikan (sunnahku) kepada mereka yang tidak hadir.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Perbuatan menyebarkan dan menyampaikan sunnah ini adalah bertujuan meneruskan kelangsungan sesebuah sunnah itu sendiri sekaligus bagi menyebar-luaskan sebuah hakikat kebenaran. Sekiranya, dakwah tidak dilaksanakan bagi menyampaikan sunnah-sunnah Nabi ini, niscaya akan berleluasalah kejahilan dan sunnah akan mati, lalu akan digantikan dengan perlbagai jenis bid’ah dan kesesatan.

Selain dari menyampaikan sunnah-sunnah Nabi yang benar, hendaklah kita sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firmannya (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab, 33: 56)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, daripada Abu Umamah al-Bahily: “Barangsiapa di antara kamu yang paling banyak berselawat kepadaku maka dialah yang paling dekat kedudukannya denganku.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Telah pun disebutkan sebelumnya, bahawa berselawat ke atas Nabi adalah sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri berdasarkan riwayat-riwayat hadis yang sahih. Dan hendaklah kita tidak melaksanakan selawat dengan tatacara yang menyanggahi petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu dengan mengambil lafaz selawat sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang sahih, tidak menjadikannya sebagai bahan untuk nyanyian, dan dengan tidak menokok tambahnya. Ini adalah kerana selawat itu sendiri adalah perbuatan ibadah yang tidak dapat dilakukan melainkan dengan adanya dalil yang menunjukkan bagaimana ianya harus dilaksanakan.

Selanjutnya, hendaklah kita sentiasa membenarkan apa sahaja yang dibenarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Segala apa yang sahih disampaikan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendaklah kita mengimaninya, membenarkannya dan mentaatinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’, 4: 65)

Setelah kita memahami bahawa wajibnya menuruti segala apa yang datangnya dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, hendaklah kita meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh beliau, meninggalkan dan membenci apa sahaja yang dibenci oleh beliau, dengan itu juga hendaklah kita menyayangi apa sahaja yang beliau sayangi dan mencintai apa sahaja yang beliau cintai.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” (Surah al-Ahzaab, 33: 36)

Diriwayatkan di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya menyayangi dan mencintai orang-orang yang beriman (mukmin) dan orang-orang yang membela agama Allah. Iaitu bermula dari kalangan para sahabat radhiyallahu ‘anhum.

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala turut menjelaskan supaya kita sentiasa berkasih sayang terhdap orang-orang yang beriman dan tidak berkasih sayang terhadap orang-orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (Surah al-Mujadilah, 58: 22)

Secara umumnya, demikianlah beberapa langkah awal bagi melahirkan dan mendidik diri di dalam mencintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu pengetahuan terhadap Sunnah-sunnah beliau dan agama yang telah sempurna ini. Dengan ilmu tersebut, insyaAllah akan menjadi bekalan di dalam menegakkan syi’ar agama Islam yang sebenar sebagaimana yang diwariskan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita. Dengan ilmu itu juga akan mengangkat darjat kita membezakan dengan kaum yang beragama tanpa ilmu. Sekaligus mampu membimbing kita sentiasa di atas jalan yang haq, mencintai Nabi sebagaimana yang selayaknya dan meninggalkan perbuatan mencintai Nabi dengan cara yang tidak selayaknya.

Hanya dengan agama yang didirikan/ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang betul, maka ia akan diberikan kejayaan dengan mendapat pertolongan Allah. Maka, hendaklah kita menegakkan agama Allah ini dengan kebenaran dan tidak menegakkannya dengan kepalsuan (bid’ah).

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (al-Qur’an) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.” (Surah Muhammad, 47: 7)

Wallahu a’lam…

Source

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: