Penghargaan untuk Modenas…

Dinamik lepasi piawaian Euro 2

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

HARGA bahan api yang tidak menentu menjadikan motosikal antara pengangkutan paling mudah dan murah untuk bergerak ke tempat kerja.

Selain mampu mengelak daripada kesesakan jalan raya, motosikal mampu menjimatkan perbelanjaan harian.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pengeluar motosikal terkenal terutama dari negara matahari terbit, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menawarkan produk lebih baik dan berteknologi tinggi.

Modenas menghasilkan pelbagai model motosikal serendah 100 cc sehingga 250 cc untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sejarah Modenas bermula pada 1990-an, seiring dengan kejayaan syarikat automotif nasional, Proton.

Modenas ditubuhkan pada tahun 1995 tetapi majoriti saham Modenas dipegang Kawasaki, Sojitz Corporation (Nissho Iwai), Khazanah Holdings Berhad dan DRB-Hicom Berhad.

Dengan pelaburan mencecah RM100 juta, projek Modenas adalah antara yang terpantas disiapkan syarikat di bawah DRB-HICOM.

Sepanjang lebih 13 tahun penubuhannya, Modenas menghasilkan lebih 10 model termasuk skuter.

Kriss adalah model pertama yang dilancarkan Modenas pada tahun 1996 di kilangnya di Gurun, Kedah.

Kriss mencipta sejarah sebagai model motosikal paling laris di negara ini berikutan harganya jauh lebih murah berbanding model lain.

Kriss 110 dibekalkan dengan enjin SOHC dua injap empat lejang satu silinder sejukan udara dengan sesaran 111cc.

Jentera itu memiliki kuasa kuda 6.6 kw pada 8,500 rpm manakala daya kilas setinggi 9.3 Nm. Ia mampu memecut sehingga 120 kilometer sejam (km/j).

Model yang asal menggunakan brek gelendong tetapi tiga tahun selepas pelancarannya, Modenas melancarkan model brek cakera hadapan yang dikenali sebagai Kriss II.

Pada 2002, Modenas mengeluarkan Kriss SG yang lebih murah berbanding model Kriss lain, tetapi kurang mendapat sambutan kerana rekabentuknya kurang menarik dan ketinggalan zaman.

Semua varian Kriss mengalami perubahan ‘wajah’ yang ketara pada 2003. Modenas melancarkan satu lagi varian Kriss, kali ini dengan kapasiti enjin 97 cc.

Model Kriss 100 menggunakan casis dan komponen sama seperti ‘abangnya’ kecuali enjin dan tiada brek cakera hadapan.

Pada tahun 1999, Modenas mencipta model cruiser kecil berasaskan model popular Kawasaki Vulcan.

Model berkenaan disasarkan kepada peminat motosikal yang ingin memiliki model motosikal cruiser Amerika tetapi tidak berkemampuan akibat cukai import motosikal yang terlalu tinggi selain keengganan institusi kewangan membiayai pinjaman membeli motosikal besar.

Cruiser yang diberi nama Jaguh 175 cc itu memiliki 11.8 kW kuasa kuda pada 8,500 rpm dengan tork setinggi 13.7 Nm pada 7,500 rpm.

Jaguh mampu memecut sehingga 140 km/j dan menjadi motosikal cruiser tempatan pertama dan mendapat sambutan menggalakkan di luar negara.

Modenas turut memperkenalkan model skuter pertamanya, Karisma 125.

Oleh kerana Kawasaki tidak menghasilkan skuter, Modenas terpaksa merujuk kepada sebuah syarikat skuter Taiwan untuk pemindahan teknologi skuter.

Walaupun menggunakan teknologi Taiwan, Modenas berjaya mempertingkatkan model skuter keluarannya sehingga setanding skuter lain.

Sambutan hangat model Karisma menyebabkan Modenas mengeluarkan beberapa model lain termasuk tiga model sekali gus pada Ogos 2003.

Skuter Modenas Elit dilancarkan sebagai alternatif kepada Modenas Karisma, dan didatangkan dalam dua pilihan iaitu 125 cc dan 150 cc yang lebih berkuasa.

Modenas turut melancarkan model skuter Ceria yang menggunakan enjin lebih kecil iaitu 101 cc, menjadikan model berkenaan sebagai model skuter sesaran terendah pernah dikeluarkan Modenas.

Selepas berjaya dengan model empat lejang dan skuternya, Modenas mengeluarkan model dua lejang pertamanya yang dikenali sebagai Dinamik 125 cc.

Modenas mendakwa model ini melepasi piawaian Euro 2 yang ketat tanpa penggunaan pengubah bermangkin.

Model terbabit dibina sebagai persediaan menyertai kejuaraan Malaysia Cub Prix.

Dibekalkan dengan enjin dua lejang satu silinder sejukan udara, Dinamik berjaya menghamburkan 12.5 kW kuasa kuda pada 9,000 rpm dan tork setinggi 14.1 Nm pada 8,000 rpm.

Dengan transmisi enam kelajuan, Dinamik berjaya mencapai kelajuan maksimum sehingga 150 km/j.

Pada penghujung Februari 2004, Modenas melancarkan skuter sejukan cecair pertama mereka, Elegan.

Model ini dicipta khas bagi mereka yang inginkan motosikal berteknologi CVT untuk perjalanan jarak jauh.

Keistimewaan model ini terletak pada enjin sejukan air yang berkuasa selain dinding silinder enjin disaluti seramik Ni-Si untuk ketahanan lebih baik ketika melakukan perjalanan jauh.

Skuter besar ini dijana enjin empat lejang 149.6 cc SOHC empat injap satu silinder yang memiliki 9.56 kW kuasa kuda pada 8,000 rpm dan tork setinggi 11.7 Nm pada 6,000 rpm.

Modenas melancarkan Kristar selepas sedekad ditubuhkan.

Walaupun menggunakan enjin sama seperti Kriss, Kristar memiliki kadar penjimatan bahan api lebih baik iaitu 46.95 km per liter (km/l) pada kelajuan 90 km/j, berbanding Kriss dengan kadar penjimatan bahan api sebanyak 44 km/l @ 90 km/j.

Selain reka bentuk serba baru serta penjimatan bahan api lebih baik, Kristar mempunyai ciri umpama skuter iaitu ruang letak barang di bawah tempat duduk, lampu hadapan berkembar, peredam bunyi ala-superbike.

Kristar adalah satu-satunya motosikal yang dilengkapi sistem pengesan kerosakan lampu belakang yang mampu meningkatkan keselamatan penunggang dan pembonceng.

Terbaru, Modenas melancarkan Passion, model skuter bersaiz kecil dengan rim bersaiz 14 inci sebagai pilihan kepada pengguna wanita.

Kini, motosikal Modenas bukan sahaja cukup di kenali di Asia Tenggara, malah mula tampil buat kali pertama untuk bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta tahun ini.

Pasukan dikenali dengan nama Modenas Yuzi Pachi Racing itu dibimbing bekas pelumba pertama Malaysia yang pernah beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Pasukan berkenaan dibarisi pelumba seperti Mohd Suhadi Ali Rahmat dan Mohd Farid Ahmad bagi kategori Expert; Mohd Afiq Azhar dan Muhammad Hanif Che Ani (Novis); Mohd Azli Azhar dan Muhammad Zulfahmi Khairuddin (Wira epg) dan pelumba simpanan, Muhammad Azrin Abdullah.

Dengan jualan yang memberangsangkan selain mula mencipta nama dalam arena perlumbaan Cub Prix, Modenas berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pengeluar motosikal dunia yang sudah lama bertapak dalam dunia permotoran.

Ulasan: Semoga Modenas terus sukses…!!!

One response

  1. ana guna produk modenas
    ana bangga menjadi rakyat malaysia,
    klu pimpinan bertukar, ana lagi bangga.huhu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: