Era WiMAX akan bermula…

Teknologi: Kehadiran WiMAX dinantikan

Oleh Zef Othman

Penggunaan bermula tahun ini manakala operasi menyeluruh dijangka pada 2009

KEHADIRAN teknologi Kebolehoperasian Global untuk Capaian Gelombang Mikro (Wimax) adalah penyelesaian sambungan Internet berkelajuan tinggi yang dinantikan pelbagai pihak termasuk industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kerajaan, pembangun teknologi global serta tempatan dan paling utama pengguna.

Wimax adalah standard yang diperkenalkan Institut Jurutera Elektrikal dan Elektronik (IEEE), gabungan standard telekomunikasi berwayar dan tanpa wayar yang berpotensi menggantikan prasarana sedia ada dan beroperasi dalam persekitaran saling bergantungan.

Wimax berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan seperti suara, video dan data menerusi spektrum gelombang frekuensi radio kepada pengguna statik dan bergerak.

Bagi Wimax tetap, ia dibangunkan berasaskan standard IEEE 802.16-2004 yang digunakan pada aplikasi tetap dan nomad dalam persekitaran LOS dan NLOS.

Wimax mudah alih pula berasaskan standard IEEE 802.16e dengan sasaran khusus untuk aplikasi mudah alih dalam persekitaran NLOS. Bagaimanapun, sistem Wimax mudah alih itu turut mampu menyediakan akses tetap dan nomad.

Sekiranya WiFi mampu menyediakan jarak sambungan ke rangkaian sehingga dalam lingkungan 100 meter, transmisi Wimax pula disifatkan mampu menghantar isyarat pada jarak maksimum 50 kilometer (km) untuk stesen tetap manakala sehingga 15 km bagi stesen mudah alih.

Dari segi ciri penyampaiannya, Wimax berkemampuan menyediakan kadar pengaliran data pada kelajuan sehingga 70 megabait sesaat (mbps).

Teknologi itu boleh digunakan bagi menghubungkan hotspot WiFi dengan bahagian Internet lain, menyediakan alternatif sambungan tanpa wayar, menawarkan perkhidmatan data serta telekomunikasi dan sambungan mudah alih.

Pada Mac 2007, kerajaan memberikan lesen Wimax kepada empat syarikat tempatan iaitu Green Packet Bhd, YTL E-Solutions Bhd (YTLe), REDtone International Bhd (REDtone) and Asiaspace dotcom Sdn Bhd (Asiaspace).

Lebih mengejutkan pelbagai pihak apabila pemberian lesen itu membabitkan saiz syarikat yang kecil dalam industri itu berbanding beberapa pembida lain yang dianggap lebih berkemampuan melaksanakannya.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman pemberian lesen itu, Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi di bawah pentadbiran bekas menterinya, Tun Dr Lim Keng Yaik ketika itu menegaskan empat pemegang lesen berkenaan perlu memastikan teknologi itu mula beroperasi di negara ini pada pertengahan 2008.

Penghujung bulan lalu, Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1), anak syarikat Green Packet Bhd, merancang melancarkan perkhidmatan jalur lebar Wimax secara komersial pada suku ketiga tahun ini, dengan sasaran liputan minimum kepada 25 peratus penduduk.

Perkhidmatan itu yang akan mula diperkenalkan di sekitar Lembah Klang, kini di peringkat akhir percubaan intensifnya yang dilaksanakan menerusi khidmat pengguna sukarela kediaman dan perniagaan.

Ketua Eksekutifnya, Michael Lai, berkata keputusan daripada aktiviti penilaian serta percubaan penggunanya memberi gambaran positif dan syarikat itu sedang meningkatkan aspek penyampaiannya bagi memastikan ia menepati standard perkhidmatan yang bermutu.

Beliau berkata, antara komponen utama yang dinilai sebelum pelaksanaan secara komersial adalah dari segi langganan, peringkat permulaan pelaksanaan, penyampaian, kualiti perkhidmatan dan sokongan pelanggan.

“Apabila ia dilancarkan pada suku ketiga nanti, P1 adalah syarikat pertama di Malaysia yang memperkenalkan rangkaian Wimax 802.16e 2.3 GHz pada skala besar dan pertama melakukannya selain Korea,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tiga syarikat pemegang lesen lain turut memberi komitmen mereka untuk melancarkan secara komersial perkhidmatan Wimax di negara ini menjelang penghujung 2008.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata empat syarikat terbabit sudah memberi jaminan akan memastikan perkhidmatan itu bakal disediakan menjelang Disember.

Beliau berkata, sekiranya empat syarikat berkenaan gagal menyediakan perkhidmatan itu kepada pengguna selewat-lewatnya akhir tahun ini, kementerian akan bertindak demi kepentingan rakyat.

“Jika mereka tidak mampu menyediakan perkhidmatan Wimax, kita (kementerian) akan mengeluarkan surat meminta menyatakan sebab mengapa lesen mereka tidak boleh ditarik balik,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, tidak dinafikan wujudnya sedikit masalah di peringkat awal pembangunannya yang seharusnya dimulakan Mei lalu. Penangguhan yang berlaku itu disebabkan sijil pengiktirafan perkakasannya masih tidak diluluskan di peringkat antarabangsa melalui Forum Wimax.

Di sebalik keghairahan menyediakan perkhidmatan itu, antara cabaran memajukan teknologi terbabit di negara ini meliputi kos penggunaannya dan kesediaan produk atau kelengkapan yang mampu menyokong teknologi Wimax.

Sehingga kini, P1 sudah mengumumkan kesediaan syarikat itu menawarkan produk yang dibangunkannya bagi menyokong teknologi Wimax dalam menangani kos penggunaan perkhidmatan terlalu tinggi.

Penganalisis dan pemerhati industri berpendapat pelaksanaan perkhidmatan Wimax secara berkesan hanya dapat dinikmati secara meluas menjelang 2009 dengan kesediaan komponen prasarana menyeluruh dan rangkaian produk sokongan yang mudah didapati di pasaran.

Bagi 2008, kehadiran perkhidmatan WiMAX masih dinanti-nantikan yang dianggap mampu mengubah landskap penggunaan dan penembusan perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

INFO:

  • Spektrum 2.3 GHz dibangunkan bagi WiMAX di Malaysia.
  • Dibida 18 syarikat dan empat dipilih kerajaan sebagai pemegang lesen sah.
  • P1 akan menyediakan 600 stesen dasar sehingga akhir 2008.
  • Kerajaan memansuhkan lesen jalur spektrum 2.5GHz dan 3.5GHz bagi menangani masalah keberkesanan pelaksanaan dan kesesakan menara.
  • Pelaburan setiap syarikat untuk membangunkan WiMAX membabitkan antara RM600 juta hingga RM2 bilion.

Source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Ekonomi/20080710093519/Article/index_html

Ulasan: Selamat datang kpd WiMAX… Pastinya penyelia 3G dan HSDPA akan menemui pesaingnya… Jesteru masing-masing akan berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan masing-masing dan para pengguna yang akan untung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: