Toyota Rush

Toyota Rush – Jentera SUV sederhana

 

 

Mahukan sebuah SUV dengan kapasiti tujuh tempat duduk pada harga sederhana? Mungkin anda perlu cuba memandu uji Toyota Rush dari bilik pameran Toyota berhampiran.

APABILA Perodua melancarkan SUV terbarunya yang dikenali sebagai Perodua Nautica, model keluaran Toyota ini nampaknya seperti mendapat publisiti percuma kerana orang ramai cenderung membuat perbandingan antara dua model yang datang dari satu ‘rumpun’ serupa iaitu Toyota.

Memiliki reka bentuk luaran sama, Perodua Nautica menawarkan kapasiti lima tempat duduk dan dibina di Jepun untuk pasaran di sana yang dijual dengan nama Daihatsu Be-go.

Satu lagi perbezaan ketara ialah Nautica mengaplikasikan pacuan empat roda, sedangkan Toyota Rush hanya menggunakan sistem pacuan roda hadapan.

Sedia maklum bahawa model Toyota Rush yang dipandu uji ini didatangkan untuk pasaran tempatan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Indonesia. Di republik itu, Rush dikenali dengan nama Daihatsu Taruna.

Sebagaimana dijangka, Toyota Rush mendapat sambutan hangat daripada pengguna Malaysia dengan jualan mencecah 1,000 unit sebulan. Angka itu sekali gus membuktikan jenama Toyota masih menjadi pilihan utama pengguna kenderaan tempatan.

Selain jenama, boleh dikatakan populariti Rush banyak bergantung kepada rupa fizikalnya yang segar dan moden. Reka bentuknya dengan bumper hadapan yang lebar bersama sepasang lampu utama jenis reflektor, roof rail dan tempat simpanan tayar di bahagian belakang jelas menampilkan ciri sebuah SUV.

Ditambah pula dengan kapasiti Rush yang mampu menempatkan sehingga tujuh penumpang, biarpun barisan tempat duduk ketiga agak sempit untuk orang dewasa.

Memandu uji Rush selama beberapa hari sudah memadai untuk mengetahui karakter jentera ini. Biarpun dibina di atas kerangka monocoque yang juga menjadi asas kepada penghasilan model Avanza, aspek pengendalian jentera ini tidaklah mengecewakan.

Pemandu masih boleh merasai tahap kestabilan Rush terutamanya ketika mengambil selekoh dalam kelajuan sederhana. Keadaan itu sebenarnya banyak dibantu oleh suspensi topang MacPherson, lengkap bersama bar penstabil untuk roda hadapannya.

Manakala ‘keseimbangan’ roda belakang pula terhasil melalui suspensi jenis 4-link dengan pegas gegelung dan rod lateral.

Namun, rasa olengan terutamanya bagi penumpang yang duduk di tempat duduk belakang agak terasa. Maksudnya, kalau perjalanan yang dilalui cukup lama, ia akan menjadi sedikit memenatkan.

Ruang dalaman Rush tidak menampilkan sebarang imej mewah. Menggunakan latar warna beige pada tempat duduk fabrik, panel sisi dan papan pemukanya tidak menarik perhatian penulis.

Rekaan papan pemukanya ringkas dan rata. Ruang konsol tengahnya diletak dengan unit audio, corong dan tombol pendingin hawa.

Berita baik untuk mereka yang masih sayang untuk membuang kaset-kaset lama kerana teknologi analog ini boleh anda gunakan dalam kabin Rush.

Kuasa jentera ini dijana oleh unit enjin empat silinder sebaris DOHC VVT-i bersesaran 1.5 liter. Dengan penghasilan kuasa maksimum sehingga 109 PS dan tork 141Nm @ 4,400 rpm, ia seronok dipandu di jalan-jalan bandar.

Tetapi, apabila berada di lebuh raya, enjin ini kedengaran seperti dikerah apabila meter rpm mencecah angka 3,500 dengan kelajuan melebihi 100 kilometer sejam.

Menariknya, memandangkan Rush adalah kenderaan pacuan roda hadapan, penggunaan bahan apinya boleh dianggap sebagai menjimatkan. Namun, ia tetap bergantung kepada corak pemanduan dan beban yang anda bawa.

Rush yang ditawarkan pada harga bermula RM85,000 hingga RM95,000 (berdasarkan varian yang dipilih) masih boleh menjadi sebuah jentera yang boleh diharap bagi mereka yang gemarkan sebuah kenderaan berkonsepkan SUV.

Didatangkan dengan empat warna menarik iaitu biru, perak, hitam dan emas, Rush hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer.

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm

Ulasan: Kancil automatik 850 cc pun kalau bawa melebihi 100 km/j, meter rpm naik melebihi 3000. Mungkin sebab itu makan minyak lebih kot… Yang bagus jika rpm maintain antara 2000 – 3000…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: