NGV: Kau idamanku…

RM8 untuk 150 kilometer

xGas NGV alternatif kepada penggunaan petrol dan diesel

RAMAI pemilik kenderaan di negara ini mengeluh berikutan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 78 sen bermula Khamis lalu.

Lonjakan harga itu, masing-masing sebanyak RM2.50 dan RM2.70 seliter, sememangnya memberi kesan kepada pengguna, malah mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Namun pengguna mempunyai alternatif lain iaitu beralih kepada gas asli untuk kenderaan (NGV) yang sebelum ini hanya popular di kalangan pemandu teksi di Lembah Klang.

NGV mula digunakan secara komersial di seluruh dunia pada 1945 tetapi kini jumlah kenderaan yang menggunakan gas itu melebihi angka sejuta.

NGV merupakan gas yang sama dibekalkan ke stesen janakuasa, industri, komersial dan rumah. Malah ternyata ia lebih menjimatkan berbanding petrol dan diesel.

“Sejak pengumuman kenaikan harga minyak, saya banyak menerima panggilan daripada orang ramai yang berminat untuk memasang NGV pada kenderaan mereka.

“Kenderaan seperti BMW, Mercedes, Toyota waima Kancil dan Proton Wira ingin memasangnya,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Gas Engineering CNG Sdn. Bhd., Fauzi Omar ketika ditemui Kosmo! Ahad di premisnya di Batu Caves, Selangor.

Fauzi menambah, beliau menerima lebih 20 panggilan sehari dan secara purata syarikatnya memasang tiga buah NGV sehari.

“Tempoh pemasangan secara karburator mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan manakala secara suntikan paling cepat dua hari.

“Ini bagi memastikan kualiti dan keselamatan dalam keadaan terbaik. Malah teksi-teksi yang sebelum ini tidak menggunakan NGV turut beralih kepadanya,” kata Fauzi.

Jelasnya lagi, walaupun kos menukarkan kenderaan bersistem petrol kepada sistem NGV agak tinggi iaitu antara RM3,000 hingga RM4,500, ia mampu menjimatkan perbelanjaan petrol sehingga 70 peratus.

“Siapa yang dapat memberi jaminan seperti itu. Dengan hanya RM8 anda mampu pergi sehingga 150 kilometer.

“Kosnya tinggi kerana kesemua komponen diimport memandangkan negara kita tidak mempunyai kepakaran menghasilkannya,” ujar Fauzi.

Katanya, syarikat beliau turut membuat pengesahan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan Puspakom.

Mengulas berhubung pengisian tong gas yang menyempitkan bonet kereta, Fauzi memberitahu perkara itu tidak dapat dielakkan.

“Ingin berjimat kena berkorban sedikit. Namun terdapat sebahagian kereta yang tayar gantinya di bawah kereta. Ia sekali gus dapat menjimatkan penggunaan ruang,” katanya.

Fauzi menambah, bahan bakar NGV lebih mesra alam, bersih dan mengurangkan pelepasan karbon monoksida.

“Ia lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau. NGV mungkin memberi penyelesaian kepada penyakit sakit otak atau sesak nafas yang boleh disebabkan oleh bahan bakar seperti petrol dan diesel.

“Kerajaan juga memberikan insentif kepada mereka yang menggunakan sistem NGV dengan pengurangan cukai jalan,” katanya.

Fauzi memberitahu, kini terdapat 74 buah stesen pengisian gas asli di seluruh negara dan dijangka meningkat kepada 200 buah.

“Negara seperti Argentina dan Brazil mengisi kenderaan mereka dengan NGV di kediaman kerana rumah mereka mempunyai saluran dan alat yang dapat menghubungkan gas itu terus kepada kenderaan,” katanya.

Secara umum terdapat tiga jenis sistem NGV iaitu bi-fuel untuk pengisian petrol atau gas asli, dual fuel untuk pengisian diesel dan gas serta nanogas yang mengkhusus kepada pengisian gas asli sahaja.

“Pemasangan sistem NGV yang ditawarkan boleh didapati secara karburator dan suntikan. Kenderaan berkaburator mestilah berusia tidak melebihi 13 tahun.

“Secara asasnya, komponen-komponen terdapat dalam sistem NGV ialah pengatur (regulator), injap pengisian gas, pencampur, aksesori injeksi, paip laluan gas, injap silinder, silinder dan suis pemilihan,” katanya.

Beliau menambah, pengguna dapat mengetahui status amaun gas asli dalam kenderaan menerusi empat lampu penanda di dalam kenderaan. Jika keempat-empat lampu berkelip-kelip, ini menunjukkan amaun gas asli semakin berkurang.

“Bagi kereta yang memasang NGV secara karburator, jika hendak menukar penggunaan petrol kepada gas asli ketika dalam perjalanan mereka perlu memastikan petrol benar-benar telah habis,” katanya.

Jelas Fauzi lagi, pemasangan secara suntikan membolehkan pengguna menukar bahan bakar pada bila-bila masa sahaja seperti enjin hibrid.

Bagaimanapun, oleh kerana sesebuah kereta yang dipasang dengan sistem NGV tidak dicipta khusus untuk menerima bahan bakar gas asli, ia sedikit sebanyak mewujudkan beberapa kekurangan.

“Memang tidak dinafikan, ada berlaku pengurangan efisiensi, tetapi dalam peratusan yang rendah,” katanya.

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_05.htm

Ulasan: Bila nak ada motosikal yang guna NGV…? 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: