Orang Melayu memang tidak suka mencatat…?

Benar… Ana tidak menipu. Cuba renungkan artikel ini

Contohi sikap Zaaba

Belajar cara orang Barat simpan dokumentasi penting

Kosmo! Ahad: Apakah perbezaan antara ANM, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM)?

SIDEK: Mungkin ramai masih keliru dengan fungsi utama tiga jabatan ini khususnya dalam isu penyimpanan bahan sejarah meskipun kami semua di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. JMM lebih kepada artifak dan penyampaian maklumat secara tidak langsung.

Manakala PNM kepada bahan bertulis sekunder termasuk manuskrip dan koleksi persendirian meliputi pelbagai topik. ANM pula lebih dalam hal penyimpanan rekod rasmi pentadbiran kerajaan waima fail, surat, peta, gambar, pelan, mikrofilem dan secara moden, audio visual.

Ia merangkumi maklumat khusus termasuk perjanjian dan rancangan pembangunan kerajaan yang dijalankan. Dalam ayat mudah, apa-apa saja dokumen berusia 25 tahun dan bukan diklasifikasi sebagai rahsia. Jika status sulit, ia perlu diubah taraf terlebih dulu mengikut prosedur.

Adakah ANM mempunyai kuasa tertentu bagi mendapatkan dokumen?

Di bawah Akta ANM diwartakan pada 2003 lalu, ketua pengarahnya ada kuasa khas membolehkan bahan tidak rasmi tetapi dianggap bernilai sejarah khususnya yang dapat menyokong dari segi pentadbiran, idea, dasar negara, waima buku catatan kecil peribadi milik individu.

Ini termasuk koleksi peribadi semua bekas perdana menteri disimpan di galeri khas Memorial Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Galeria Perdana yang ada memaparkan segala benda milik mereka seperti alat tukang Tun Dr. Mahathir, kereta, potret, hadiah dan lain-lain. Jika dokumen rasmi termasuk surat, nota tulisan tangan seperti ucapan tahniah, memo ingatan dan apa saja, ia disimpan terus di pejabat rekod ANM.

Ini bukan baru malah setiap kenamaan penting yang ada menyimpan koleksi catatan persendirian mereka. Lagipun ketua pengarah sahaja yang ada autoriti boleh mengesahkan keaslian sesuatu dokumen sebagai bahan bukti sokongan perbicaraan di peringkat mahkamah.

Di bawah akta ini, ANM mengikut model perpustakaan presiden Amerika Syarikat sehingga menyimpan semua dokumen termasuk surat peribadi, cenderamata, diari waima sehelai kertas kecil yang mencatat idea pemimpin pun direkodkan dengan terperinci kerana nilai sejarah.

Bagaimana kesedaran masyarakat terhadap peranan ANM?

Secara umum, ramai belum memahami fungsi ANM namun secara perlahan, kita sudah pun melatih setiap agensi kerajaan untuk cermat menyimpan segala rekod. Di tempat lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan sendiri, kesedaran agak kurang dan ini akan kita perbaiki dengan menggalakkan penubuhan unit arkib bagi menyimpan dokumen penting.

Hakikatnya di bawah undang-undang, semua pihak termasuk individu mesti menyerah segala bahan bernilai memorial sekurang-kurangnya usia 25 tahun kepada ANM dan ini biasa di barat, masyarakatnya menghantar rekod kepada agensi arkib untuk didokumentasi bagi rujukan awam.

Masalahnya tidak di Malaysia. Pernah ada penyelidik datang ke ANM untuk buat kajian dan mendapati bahan rujukan tidak cukup. Puncanya bukan silap ANM tetapi pihak sumber tidak menghantar dokumen terbabit menyebabkan masyarakat tiada akses kepada maklumat bersejarah itu.

Mujur ada memberi sendiri dokumen peribadi milik mereka antaranya Za’aba, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, Tan Sri Mubin Sheppard, Sheikh Tahir Jalaluddin, Harun Aminurrashid, Tan Sri P. Ramlee dan banyak lagi yang dianggarkan melibatkan koleksi lebih 100 individu.

Lazimnya ANM berjumpa terus waris keluarga jika individu meninggal dunia atau sebaik bersara daripada kerjaya. Nilai bahan berdasarkan kepada sumbangan idea mereka misalnya dalam isu pelajaran, hiburan, sastera, selain melihat kepada jasa atau cetusan tulisan tersohor.

Sebagai penghargaan, kita memberi saguhati daripada RM10,000 hingga ratusan ribu ringgit kepada keluarga jika individu itu sudah tiada kerana kebanyakan balu mereka bukan hidup mewah bahkan tiada sumber pendapatan. Ada secara sukarela dan tidak mahu apa-apa bayaran.

Macam mana komen mengenai keputusan Pulau Batu Puteh?

Dalam hal ini, kita perlu rasional melihat perbandingan situasi zaman dulu tidak sama dengan sekarang. Kesilapan sebenarnya bukan daripada kecuaian pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor waktu itu gagal menyimpan baik setiap surat penting mengenai status Pulau Batu Puteh.

Masa itu segala surat disimpan di Singapura sebagai pusat arkib utama kolonial Inggeris bahkan surat Sultan kita yang dihantar ke London pun ada salinannya di Singapura, menunjukkan betapa penting mereka kepada penjajah. Tanah Melayu serba kekurangan hingga merdeka.

Bayangkan ANM baru diwujudkan pada 1 Disember 1957 dan segala rekod rasmi negara sebelum itu adalah sifar. Kita terpaksa bermula kosong dan pergi mencari bahan berkaitan sejarah negara di seluruh dunia berbeza dengan Singapura yang sudah ada lengkap arkib dokumen rasmi.

Apakah pengajaran daripada kes tuntutan kedaulatan itu?

Terus terang, projek Batu Puteh dijalankan ANM secara senyap bersama Kementerian Luar Negeri sejak 1980-an. Kita jelajah serata dunia, malangnya sebahagian besar dokumen dilelong harga tinggi dan agensi terbabit tidak menerima bidaan dalam bentuk surat arahan kerajaan.

Ini menunjukkan pentingnya simpan dokumen. Dunia sudah berubah. Dulu perjanjian dibuat atas dasar kepercayaan seperti dalam kes meminang, jika putus tunang pun tiada masalah. Sekarang, silap hari bulan kena saman di mahkamah. Semua mesti ada hitam putih.

Malah kerajaan bila buat perjanjian antara negara perlu ada nasihat perundangan termasuk saksi melibatkan badan antarabangsa diiktiraf seperti Bangsa-Bangsa Bersatu. Namun ANM bersyukur biarpun masih bertatih, kita sudah ada bahan seawal tahun 1500 selain 60,000 gambar.

Kenapa masyarakat kita ‘malas’ simpan dokumen bersejarah?

Ini lebih kepada didikan di rumah, orang kita lebih suka bercerita. Bayangkan datuk akan bercerita kepada bapa tetapi apabila turun kepada anak, nilainya mungkin turun kepada 60 peratus sahaja. Bila turun kepada cucu, cerita itu barangkali sudah tinggal 10 peratus.

Akhirnya cerita si datuk pun lenyap apabila tiba kepada cicit. Kita belum sampai ke tahap seperti masyarakat Eropah yang gemar mencatat setiap apa dilihat. Lihatlah pegawai Inggeris zaman dulu di Malaya suka mencatat apa sahaja dia nampak sampai berjilid-jilid judul diari.

Tetapi kita tiada pula tahu apa berlaku pada zaman kesultanan Melayu Melaka termasuk kehidupan istana dahulu kecuali catatan penjajah Portugis yang mungkin ‘bias’ kepada kepentingan mereka hinggalah muncul penulis pengembara Munsyi Abdullah dan Tun Seri Lanang.

Contoh terbaik zaman moden hanya ada pada pendita bahasa, Zainal Abidin Ahmad atau Zaaba. Dia suka menyimpan catatan waima surat-menyurat peribadi keluarga pun didokumentasi termasuk surat balasan kepada anaknya bagi membetulkan balik kesilapan tatabahasa Melayu daripada surat asal si anaknya itu.

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0601&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: