Internet lebih pantas

KUALA LUMPUR 15 Mei – Pengguna Internet di negara ini bakal menikmati kemudahan lebih pantas berkali ganda, setanding dengan komuniti maya negara-negara maju melalui projek pembangunan infrastruktur jalur lebar yang diumumkan oleh kerajaan hari ini.

Kemudahan baru itu bakal melonjakkan Malaysia ke tahap dunia siber seperti di Hong Kong, Korea dan Singapura yang memberi impak besar kepada sosioekonomi rakyat.

Ia umpama pembukaan sebuah lebuh raya yang akan memudahkan pelbagai aplikasi dimanfaatkan sepenuhnya seperti e-kerajaan, e-kesihatan, e-pendidikan, telekerja (bekerja dari rumah), e-pembayaran dan TV dengan Protokol Internet (IPTV).

Melalui kemudahan itu, orang ramai akan lebih mudah berurusan dengan kerajaan secara dalam talian.

Penekanan juga akan diberikan kepada aspek pembangunan kandungan dan pelbagai aplikasi dalam talian seperti perkhidmatan perbankan dan pembelian tiket.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor semasa mengumumkan projek mempertingkatkan jalur lebar itu di bangunan Parlimen di sini hari ini berkata, ia akan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat, industri dan kerajaan.

Menurutnya, ia juga secara tidak langsung mewujudkan sehingga 135,000 peluang pekerjaan baru menjelang 2010.

Kata beliau, aplikasi e-kesihatan juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan kerana pesakit boleh berurusan secara dalam talian dengan pakar perubatan tanpa perlu bersemuka melalui persidangan video.

“Bagi golongan petani dan nelayan, mereka misalnya boleh menyemak harga hasil tani secara dalam talian dan memasarkan hasil pencarian secara terus tanpa menggunakan perkhidmatan orang tengah,” jelasnya.

Beliau berkata, pengguna juga kelak hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk memuat turun dokumen bersaiz 10 Megabait (MB) berbanding lima minit sekarang.

Mengulas lebih lanjut, Shaziman berkata, jika dahulu perkhidmatan bekalan air dan elektrik merupakan faktor utama untuk menarik pelaburan, kini perkhidmatan jalur lebar pula menjadi keperluan asas.

Beliau berkata, keputusan itu diambil memandangkan kadar penembusan jalur lebar negara iaitu 18 peratus, amat rendah berbanding negara-negara maju di Asia seperti Singapura (78 peratus), Hong Kong (80 peratus) dan Korea Selatan (93 peratus).

“Pembangunan jalur lebar terbaru ini menyasarkan penembusan jalur lebar bagi isi rumah sebanyak 50 peratus menjelang 2010 dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM11.3 bilion,’’ ujarnya.

Shaziman menambah, peningkatan penembusan jalur lebar juga merupakan pemangkin yang mampu mencetuskan pertumbuhan ekonomi daripada segi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Hasil penilaian awal daripada aspek sumbangan ke atas KDNK ialah RM6.68 bilion atau satu peratus pada tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata, bagi memenuhi aspirasi tersebut, usaha-usaha perlu ditumpukan dalam memastikan perkhidmatan jalur lebar disediakan kepada orang awam dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang berimpak tinggi.

Menurutnya, projek pembangunan berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa-fasa dengan peruntukan awal hanya melibatkan fasa satu meliputi 1.3 juta premis dengan pelaburan kerajaan RM2.4 bilion, manakala bakinya oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).

Kata beliau, pembangunan itu dibahagikan kepada tiga zon dengan Zon 1 diliputi infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan jalur lebar orang awam (BBGP) bagi kawasan berimpak ekonomi tinggi seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Timur Laut Pulau Pinang.

Zon 2 pula merupakan kawasan yang diliputi dengan infrastruktur BBGP sahaja, manakala Zon 3 meliputi luar bandar yang tidak ekonomik, bertujuan merapatkan jurang digital dan memerlukan pembiayaan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), katanya.

Kerajaan, kata beliau, memutuskan untuk menumpukan dua kategori iaitu BBGP pada kelajuan 2 megabait sesaat (Mbps) dan HSBB pada kelajuan antara 10Mbps dan 1Gbps memandangkan pelan pembangunan pelaksanaan jalur lebar ke seluruh negara dijangka menelan belanja RM56 bilion.

Menurut Shaziman, bagi jalur lebar kategori HSBB di Zon 1, ia akan dilaksanakan secara usaha sama antara kerajaan dan TM memandangkan syarikat berkenaan memiliki 95 peratus infrastruktur komunikasi sedia ada.

Bagi liputan untuk orang awam di Zon 2, jelasnya, majoriti inisiatif peluasan jalur lebar akan diteruskan di bawah strategi-strategi sedia ada termasuk galakan persaingan antara teknologi wayarles seperti generasi ketiga (3G) atau Capaian Paket Pindah Turun Berkelajuan Tinggi (HSDPA), WiMax dan talian tetap.

Katanya lagi, cadangan kos projek bagi membangunkan infrastruktur HSBB dalam tempoh 10 tahun akan datang berjumlah RM15.2 bilion.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Ulasan: Hopefully menjadi… Amin…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: