Elegan pengganti Kembara

Didatangkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU), tawaran terbaru daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) ini akan menggantikan model 4×4 kompak sebelumnya, Perodua Kembara.

MEMPUNYAI status selaku pembuat kereta nasional kedua negara, Perusahaan Otomobil Kedua Berhad (Perodua) cukup dikenali dengan produk automotifnya yang memenuhi kehendak pasaran kereta kompak.

Kuasa pasarannya juga cukup kuat, sehinggakan ia mampu merampas kedudukan selesa Proton sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ya, kita sering membuat perbandingan antara dua entiti automotif ini. Tetapi tahukah anda bahawa ia satu perbandingan yang tidak adil?

Berbeza dengan Proton yang menghasilkan kenderaan-kenderaannya daripada satu lakaran kasar, Perodua hanya mengambil model daripada Daihatsu, syarikat pengeluar kenderaan kompak yang berada di bawah payung Toyota.

Dalam erti kata lain, Perodua tidak pernah menghasilkan komponen-komponen utama seperti enjin, kerangka, kotak gear serta reka bentuknya, sekali gus menjadi faktor kenapa jarang sekali produk Perodua berdepan dengan masalah.

Situasi ini memberi gambaran jelas bahawa segmen ini mempunyai pengikut cukup besar, biarpun dalam iklim automotif negara yang terkekang dengan pelbagai perkara.

Setelah menerima beberapa peringkat perubahan secara facelift (Kembara DVVT, Kembara CT) model ini akhirnya ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2006.

Mahu memeriahkan pusat pamerannya dengan model baru selain Myvi dan Viva, Perodua akhirnya membawa masuk model pengganti Kembara. Apa yang memeranjatkan, model yang menggantikan Kembara ini dibawa secara import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Sememangnya satu amalan luar biasa buat Perodua dan menjadi jawapan secara langsung kenapa model berkonsepkan SUV urban kompak, Nautica 4WD ini ditawarkan pada harga RM89,900 seunit, harga paling tinggi untuk model Perodua setakat ini.

Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, keputusan itu diambil berikutan Perodua hanya mensasarkan jualan sebanyak 100 hingga 200 unit sebulan, maka adalah tidak ekonomi jika Nautica dihasilkan dalam bentuk CKD.

“Perodua tidak mahu membebankan vendor dengan pelaburan yang tinggi sedangkan sasaran jualan Nautica dalam jumlah yang kecil. Dengan jualan 200 unit sebulan, menjadikan Nautica sebagai model CKD adalah mustahil,” kata Syed Abdull Hafiz, sambil memberitahu bahawa Perodua Kembara pernah menguasai 64 peratus segmen SUV pada tahun 1999.

Bagi mengimbangi harga Nautica yang tinggi, Perodua juga telah berbincang dengan syarikat kewangan untuk menawarkan faedah lebih rendah iaitu antara 3.0 hingga 3.3 peratus, berbanding 4.3 peratus yang dikenakan sekarang.

Bagaimana rupanya Nautica ini? Bagi mereka yang masih belum berkesempatan untuk pergi ke pusat pameran Perodua, anda hanya perlu bayangkan Toyota Rush dalam versi kompak dengan kapasiti lima tempat duduk dan emblem ‘P’ di bahagian hadapannya.

Secara fizikalnya, Nautica memang mempunyai penampilan yang sofistikated. Seakan membawa imej model SUV Toyota lebih mewah iaitu RAV4, Nautica memiliki segala ciri sebuah SUV kompak.

Bahagian hadapannya nampak kemas dengan bumper lebar yang dipadankan bersama sepasang lampu projektor utama. Di bawah gril radiatornya, sepasang lampu kabus melengkapkan lagi praktikaliti Nautica untuk meredah kegelapan malam dengan lebih yakin.

Nautica turut didatangkan dengan roof rail yang membolehkan kotak penyimpanan barang dipasang. Sementara rekaan bahagian belakang Nautica nampak kemas dengan lampu berbentuk 3D bagi memudahkan ia dilihat oleh pengguna lain dari pelbagai sudut. Turut menarik perhatian ialah tempat letak tayar bertutup yang boleh dikunci sebagai langkah keselamatan tambahan.

Sebenarnya, lebih kurang seminggu sebelum Nautica dilancarkan secara rasmi semalam, Perodua telah pun membawa sekumpulan wartawan ke Awana Genting Highland untuk memandu uji Nautica.

Dalam keadaan hujan, penulis berpeluang memandu Nautica selama kira-kira 20 minit melalui jalan berbukit sekitar Genting Highlands dan Gohtong Jaya. Nautica yang dijana menerusi enjin bersesaran 1.5 liter DOHC, lengkap dengan sistem DVVT ini memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan momentum dalam usahanya mendaki bukit.

Dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, ia mampu membuatkan perjalanan terasa begitu lancar biarpun ada ketikanya terpaksa melihat jarum rpm melepasi angka 5,000 untuk mendapatkan kuasa yang dikehendaki.

Posisi tempat duduk yang tinggi membuatkan pemandu dapat melihat jalan raya dengan lebih jelas. Walaupun nampak kompak, kabin Nautica menyediakan ruang secukupnya untuk penumpang duduk dalam keadaan selesa.

Tempat duduk, papan pemuka dan panel sisi model ini dimonopoli oleh warna hitam dengan sedikit calitan warna perak pada konsol tengah, stereng serta platform tuil gearnya.

Bahagian tengah papan pemuka Nautica dilengkapi dengan paparan amaran yang memaparkan ikon-ikon tertentu. Sistem audio dengan ciri pemain cakera padat yang ringkas terpasang kemas di bahagian atas corong pendingin hawa.

Menggunakan tiga meter analog, ruang ini turut dilengkapi dengan paparan digital pelbagai informasi yang memberikan maklumat seperti jam, purata penggunaan petrol dan suhu di luar kabin.

Dengan sistem pacuan empat roda sepanjang masa, penggunaan bahan api Nautica ialah 14.2 kilometer bagi setiap liter petrolnya.

Memang betul, Perodua mahu mengekal kesinambungan model Kembara yang menggunakan sistem pacuan empat roda, tetapi secara peribadinya, penulis berpendapat adalah lebih baik sekiranya Perodua membawa masuk model berpacuan roda hadapan (FWD) dan mungkin dengan hanya spesifikasi asas.

Bukan sahaja Nautica boleh dijual pada harga sedikit murah, malah secara relatifnya penggunaan petrol juga jimat, selain praktikaliti majoriti pengguna SUV yang hanya memandu kenderaan mereka di bandar kebanyakan masanya.

Bagi mereka yang berminat, tempahan Nautica diterima mulai hari ini di semua pusat pameran Perodua.

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm

Ulasan ana:  Ana sedikit kecewa kerana model ini begitu mahal harganya… Ingatkan harganya dekat-dekat dengan harga Kembara… musnah lah harapan untuk memilikinya… jika tidak boleh jugak berkembara di hutan belantara sambil minum kopi radix, ‘mai secawan’….. hehe…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: