Toyota Corolla Altis lebih aerodinamik

Oleh JOHARDY IBRAHIM
(johardy.ibrahim@utusangroup.com.my)

 

JANGKA hayat sesuatu model kereta buatan Jepun secara puratanya ialah lima tahun. Namun, bagi keluarga model Toyota Corolla Altis sedikit lebih. Pelancaran generasi kesepuluhnya ke pasaran Malaysia pada 14 Mac lalu, sekali gus menandakan kali terakhir perubahan modelnya ialah pada tahun 2001 iaitu kira-kira tujuh tahun.

Alasannya, menurut Penolong Ketua Jurutera bagi Toyota Corolla, Yasuo Kamata, ia disebabkan matlamat Toyota menjadikannya model global dan segala perancangan perlu diselaraskan.

Difahamkan, dalam usaha penekanan Toyota dalam mengurangkan kos, proses pembangunan generasi baru Corolla diselaraskan berikutan wujud pelbagai varian mengikut sektor seperti Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun sendiri.

Daripada segi rupa luarannya, reka bentuk depan Corolla Altis cenderung kepada penggayaan Toyota Vios dan tebal dengan ciri-ciri Toyota Camry. Sebenarnya, penggayan depan Toyota sudah dihidu memang direka mirip antara satu sama lain. Contoh mudah ialah jika dipandang daripada arah depan, siapa dapat mengagak mana satu Hilux dengan Fortuner atau mana satu Innova dengan Avanza.

Berdasarkan dimensi, keseluruhan panjang Corolla Altis hanya 10 milimeter (mm) panjang berbanding model generasi kesembilan tetapi lebarnya bertambah 55 mm menjadi 1,760 mm. Jarak rodanya tidak berubah pada 2,600 mm manakala tinggi dikurang sebanyak 15 mm. Keseluruhan dimensi itu disifatkan sebagai ‘optimum’ bagi kereta sekelasnya.

Dalam mereka bentuk Corolla Altis, tumpuan diberikan bagi melahirkan kecekapan aerodinamik iaitu apabila dipacu laju, ia membantu memperbaiki penjimatan bahan api kerana halangan angin dikurangkan. Gegaran juga berjaya dikurangkan, sekali gus menampan paras bunyi bising manakala kestabilan badan pada kelajuan tinggi dapat dipertingkatkan. Contoh ketara elemen aerodinamik pada Corolla Altis boleh dilihat dalam profil tetiang-A yang mengurangkan bunyi angin.

Bahagian dalam kabinnya menawarkan ciri-ciri yang sepatutnya ada pada sebuah kereta berharga melebihi RM100,000 sebuah iaitu mesra pengguna (butang kawalan mudah dicapai, dibaca; mewah) dan paling penting, luas terutama di bahagian penumpang belakang. Ruang atau kotak penyimpanan barang juga mewah.

Percayakah anda… Corolla Altis ada 21 ruang sedemikian? Ini menjadikannya kereta idaman kaum hawa! Satu cangkuk di tengkuk kerusi penumpang depan turut disediakan bagi memudahkan pemilik mengantung beg plastik makanan atau benda yang ringan. Mujur tiada cangkuk khusus untuk orang yang gemar menggantung baju dalam kereta ibarat dobi bergerak!.

Sejajar dengan peletakan kedudukan kereta ini sebagai sebuah kereta keluarga yang bukan sekadar untuk ulang-alik ke pejabat tetapi juga pulang ke kampung, Corolla Altis dipasang dengan sistem audio yang berkualiti tinggi.

Ia boleh memainkan cakera padat (CD) dengan keupayaan MP3 atau format WMA. Bagi varian 1.6E dan 1.8E liter, ia boleh memainkan satu CD dengan empat pembesar suara manakala varian tertinggi, 1.8G mempunyai pemain enam CD dengan enam pembesar suara.

Di sebalik reka bentuk badannya yang serba baru dan ternyata berketerampilan, bila masuk bab enjin… Toyota seolah-olah berpegang teguh pada prinsip – “mengapa perlu ubah sesuatu yang elok dan tidak rosak”. Ini merujuk kepada pengekalan penggunaan enjin 1.8 liter yang telah diguna dalam model generasi kesembilan.

Jentera yang masih menggunakan enjin VVT-i transmisi automatik empat kelajuan itu mampu menghasilkan kuasa 97kW/132 ps pada 6,000 rpm dan tork 170Nm pada 4,200 rpm dengan kapasiti enjin 1798cc. Bagi versi 1.6E pula, ia dijana enjin 1598cc yang menghasilkan kuasa 80kW/109 ps pada 6,000 rpm dan tork 145Nm pada 4,400 rpm.

Jurutera Toyota yang didatangkan khas untuk majlis pelancaran Corolla Altis mungkin tidak menyangka berdepan dengan asakan soalan daripada media Malaysia berhubung isu di atas. Tatkala pesaing terdekat Toyota sudah menawarkan transmisi lima kelajuan, keputusan pengeluar kereta terbesar dunia ini agak menghairankan.

Yasuo Kamata berkata, keputusan tersebut didorong oleh hasil penyelidikan syarikat itu terhadap pasaran Malaysia dan yakin transmisi empat kelajuan adalah memadai. Jangan tanya UMW Toyota Motor. Mereka hanya pengedar di Malaysia. Keputusan muktamad adalah dari Toyota di Jepun.

Sistem suspensinya adalah lembut dan selesa bagi mereka yang mementingkan keselesaan selain mengharungi jalan raya yang tidak rata.

Lekuk pada jalan atau lubang hampir tidak dirasai tetapi kurang sesuai digunakan untuk mengambil selekoh pada kelajuan tinggi kerana membuai.

Harga atas jalan termasuk insurans bagi model 1.6E adalah RM102,900, 1.8E (RM109,900), 1.8G (RM117,900), 1.8E Sporty (RM112,250) dan 1.8G Sporty (RM120,250) dan ditawarkan dalam lima warna.

Sebelum pelancaran rasminya pada pertengahan Mac lalu, UMW Toyota Motors sudah menerima kira-kira 800 tempahan bagi Corolla Altis, kebanyakannya untuk varian 1.8 liter. Ini menunjukkan jenama Toyota yang begitu kukuh di negara ini, didorong oleh perkhidmatan lepas jualan yang memuaskan dan meliputi seluruh negara hari ini.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0503&pub=utusan_malaysia&sec=pemotoran&pg=mo_01.htm&arc=hive

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: