Karakter jentera Eropah

 

Dibina di atas kerangka yang sama dengan Nissan X-Trail, Dualis mampu beraksi di laluan off-road dan jalan raya biasa.

TERGOLONG dalam segmen crossover kompak SUV, model ini membawa gah dan prestij jenama pengeluar kereta dari Jepun iaitu Nissan. Dikenali sebagai Nissan Qashqai di pasaran Amerika dan Eropah, nama itu diubah kepada Nissan Dualis bagi pasaran Malaysia, Jepun dan Australia.

Dualis sebenarnya membawa maksud keupayaan jentera ini beraksi di laluan off-road dan jalan raya biasa, sekali gus menjadi sebuah kenderaan yang menepati gaya hidup aktif pemiliknya.

Dibina di atas kerangka sama dengan Nissan X-Trail, jentera terbaru dalam pasaran ini menjanjikan kelainan, sebaik sahaja anda masuk ke ruang kokpitnya.

Memulakan produksi sejak tahun 2007, Nissan Dualis direka bentuk oleh pasukan jurutera yang berpengkalan di Nissan Design Europe di London. Maka tidak hairanlah jika penampilannya menyerlahkan karekter jentera Eropah yang cukup kental.

Sementara aspek kejuruteraannya pula dibangunkan oleh pihak Pusat Teknikal Nissan Eropah (Nissan Technical Centre Europe, NTCE) yang terletak di Bedfordshire, England.

Sejak membuat debut di Paris Motor Show dua tahun lalu, Dualis berjaya mencatat jualan memberangsangkan iaitu lebih 100,000 unit di pasaran Eropah. Menyedari potensi besar itu, pengguna Malaysia cuba diumpan dengan produk Nissan ini.

Tidak didatangkan oleh pengedar dan pemegang jenama Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor, Dualis sebaliknya dibawa masuk oleh pemain utama industri automotif tempatan, siapa lagi kalau bukan Naza World.

Dualis diperkenalkan kepada sekumpulan wartawan di baru-baru ini di Tropicana Golf and Country Club. Memandangkan ia masih belum didaftarkan, kami hanya dibenarkan untuk memandu Dualis di sekitar kawasan Tropicana yang jaraknya hanyalah beberapa kilometer.

Namun, ia sudah memadai untuk mengetahui serba sedikit karekter pemanduannya. Dualis dikuasakan oleh unit enjin empat silinder bersesaran 2 liter yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 102 kW dan tork maksimum mencecah 198Nm.

Memacu Dualis tidak berdepan masalah berikutan nisbah berat kuasanya yang ideal. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang cukup lancar.

Bagi mereka yang mahu merasai keseronokan memandu secara manual, anda boleh berbuat demikian dengan menolak tuil gearnya ke sebelah kanan, untuk memanfaatkan ciri shiftronic yang ada padanya.

Ruang kabin Dualis dimonopoli dengan warna hitam dan kelabu. Rekaan konsol bahagian tengahnya disempurnakan dengan corong pendingin hawa berbentuk bulat, di samping butang-butang kawalan pendingin hawa yang kemas.

Ada sesuatu yang hilang di sini. Ya, Dualis yang dipandu uji ini tidak didatangkan dengan unit audio, membuatkan ruang ini nampak kosong. Sementara tuil gearnya dipasang ke atas platform berwarna berwarna perak yang kontras dengan warna sebahagian besar kabin ini.

Walaupun nampak kompak, tempat duduk belakangnya mampu menempatkan tiga orang dewasa dalam kedudukan yang selesa. Ruang kaki yang disediakan cukup luas untuk individu bersaiz sederhana.

Manakala kedudukan sterengnya pula sedikit rendah, ia mungkin memberi masalah kepada pemandu berbadan besar. Biarpun begitu, setiap penumpang pasti akan menghargai panoramic roof Dualis yang meliputi sebahagian besar bumbungnya dan boleh dibuka secara automatik.

Sama seperti SUV kompak yang lain, Dualis mewah dengan ruang untuk menyimpan barang dan meletak botol minuman.

Berbicara tentang reka bentuk luaran Dualis pula, ia nyata mengambil sedikit DNA model SUV mewah Nissan Murano yang kemas dan maskulin. Gril hadapan berwarna krom yang lebar, dipadankan dengan sepasang lampu utama besar dan hud yang beralun.

Bagi memastikan kejituan pemanduannya, Dualis dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda on demand reactive. Aspek keselamatan jentera ini turut dipertingkat menerusi enam beg udara dan kawalan kestabilan.

Didatangkan dengan dua warna iaitu hitam dan perak, Dualis ditawarkan pada harga RM229,999 seunit. Maklumat lanjut, sila hubungi Naza World di talian 03-2617 7788.

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: