Pandu Uji: Yamaha FZ150i pantas, jimat

MOTOSIKAL kini bukan pengangkutan untuk golongan berpendapatan kecil tetapi menjadi pilihan pengguna bijak sebagai alternatif berulang-alik ke pejabat bagi mengurangkan bajet minyak, tol dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

Kebanyakan pekerja di ibu kota kini memilih untuk menunggang motosikal ke tempat kerja kerana mudah dikendalikan, jimat dan lebih praktikal ketika mengharungi kesesakan tanpa risau terlewat untuk ke pejabat atau menjalankan tugasan luar.
Tidak hairanlah mengapa pengeluar motosikal kini berlumba-lumba memperkenalkan jentera terbaru masing-masing bagi menambat hati pengguna, terutama dalam menawarkan jentera menjimatkan serta berprestasi.

Aspek sama dipersembahkan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd yang memperkenalkan motosikal terbarunya menerusi model FZ150i bagi memenuhi permintaan pengguna masa kini terhadap jentera mesra ekonomi tetapi pantas di jalan raya.

Yamaha FZ150i bukan saja bercirikan motosikal ‘naked’, malah turut dilengkapi suntikan bahan api pertama dalam kelasnya.

Sebaik menghidupkan enjin, bunyi deruman motosikal era baru ini sungguh padat, seolah-olah mahu menggambarkan kuasa yang ada pada nadinya.

Dilengkapi dengan enjin empat lejang sejukan cecair empat injap SOHC berkuasa 149.8cc, ia jelas menunjukkan model ini memiliki kuasa yang diperlukan untuk bergerak seharian.

Sebaik menunggang di jalan raya, motosikal ini tidak akan terlepas daripada pandangan Mat Motor yang seakan kehairanan melihat model ini selain agak terkejut apabila melihat lambang Yamaha yang terpampang pada tangki FZ150i ini.

Jelas, mereka masih sukar mempercayai model ini datangnya daripada pengeluar Yamaha kerana sekilas pandang, ia tidak ubah seperti sebuah motosikal ‘naked’ keluaran Kawasaki beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, FZ150i tidak sama seperti model berkenaan, malah teknologi yang diperkenalkan lebih terkini dan terbaru dalam arena permotoran.

Menggunakan sistem suntikan bahan api, FZ150i tidak mempunyai masalah ketika menghidupkannya dan dengan menekan butang penghidup sekali saja, motosikal ini sudah sedia untuk ditunggang.

Kuasa dihasilkan enjin empat lejang ini nyata cukup bertenaga untuk memacu jentera ini dengan memuaskan sama ada di jalan biasa atau lebuh raya.

Oleh kerana FZ150i berkuasa empat lejang, rpm tinggi diperlukan bagi memperoleh pecutan maksimum tetapi perkara itu bukanlah masalah besar bagi jentera ini.

Sistem sejukan cecairnya berfungsi dengan sempurna dan mampu mengawal suhu enjin daripada terus mengalami kepanasan melampau.

Penulis sempat menjadikan lampu isyarat sebagai tempat menguji daya tujahan FZ150i dan ternyata jentera lain masih berada di belakang selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Kawalan tunggangan jentera ini sangat mudah dengan pengendalian yang ringan dan kedudukan menunggangnya juga adalah selesa, sesuai dengan gaya ala Amerika yang ditonjolkan.

Penunggang tidak perlu membongkokkan badan seperti menunggang Yamaha TZM atau superbike lain dan keadaan ini membolehkan ia sesuai ditunggang dalam tempoh masa lama serta perjalanan jauh tanpa mengalami rasa tidak selesa.

Kerangka Deltabox (sama seperti kerangka model TZM) yang besar dan dilengkapi penyerap hentak teleskopik hadapan dan monoshock belakangnya mampu memberikan tunggangan yang selesa dengan kawalan yang baik tanpa berayun terutama ketika mengambil selekoh pada kelajuan yang diinginkan.

Kuasa pemberhentiannya agak memuaskan dengan brek cakera di hadapan dan dram pada bahagian belakang.

Penulis berharap pengeluar boleh menukar brek dram kepada brek cakera kerana kehendak penunggang motosikal masa kini yang gemar memasang brek cakera di belakang walaupun menunggang kapcai.

Brek cakera lebih diyakini selamat dan kurang panas berbanding brek dram.

Satu lagi aspek keselamatan lain, lampu utama akan bernyala ketika kunci dipulas tanpa menghidupkan enjin.

Ini penting kerana penunggang tidak perlu menghidupkan enjin ketika berada dalam keadaan kecemasan seperti terjatuh di kawasan gelap dan motosikal dirempuh kenderaan lain kerana kebanyakan lampu motosikal yang menggunakan klac manual hanya berfungsi selepas enjin dihidupkan.

Kedudukan suis kawalan pula mudah dicapai seperti biasa dan lampu halogen yang digunakan juga cukup terang dan besar untuk tunggangan pada malam hari atau ketika hujan lebat.

Sementara itu, paparan meternya dilengkapi lampu suntikan bahan api, amaran minyak dan kepanasan, di samping tolok simpanan minyak yang diletakkan di antara kedua dua meter gaya analog bagi kelajuan dan takometer.

Penggunaan bahan api amat mengagumkan dan penulis berasa seolah-olah meter penunjuk bahan api motosikal terbabit ‘rosak’ kerana ia berada dalam keadaan statik walaupun digunakan untuk berulang-alik dari rumah ke pejabat sejauh lebih 50 kilometer sehari.

Teknologi suntikan bahan api berjaya memaksimumkan penggunaan setiap titisan minyak dengan sempurna dan menjimatkan walaupun ditunggang dengan kelajuan tinggi.

Kesimpulannya, menunggang Yamaha FZ150i ternyata memberi kepuasan kepada penulis dan wajar dimiliki terutama bagi mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.

Selain itu, harganya semurah RM7,798 (tanpa insurans atau cukai jalan) jauh lebih rendah daripada apa yang ditawarkan Yamaha FZ150i.

Source: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Vroom/20080318100800/Article/indexv_html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: