Proton… kau tetap di hatiku…

Proton gemilang selepas 25 tahun

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

PENGELUAR kereta pertama negara, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd atau Proton yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 mengukir pelbagai sejarah tersendiri kepada negara.

Selain mencatatkan sebagai kereta keluaran pertama, Proton menghasilkan lebih 16 model kenderaan terdiri daripada versi sedan, kompak, hatchback, premium, berkuasa tinggi, Kenderaan Pelbagai Guna (MPV), facelift baru selain mencipta trak utiliti mini yang mendapat sambutan hangat di luar negara.

Bermula dengan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, penubuhan Proton dibantu Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (Hicom) selain rakan usaha sama dari seberang laut seperti Mitsubishi Motor dari Jepun.

Dr Mahathir menyuarakan pandangannya untuk membina kereta nasional pertama apabila presiden Mitsubishi melakukan lawatan di negara ini pada 1981.

Pada Februari 1982, satu pasukan khas ditubuhkan Hicom bagi membuat penyelidikan dan menandatangani perjanjian dengan Mitsubishi dengan modal berbayar RM150 juta.

Selepas menandatangani perjanjian, Proton membina kilang pertamanya di Kawasan Perindustrian Hicom, Batu Tiga, Shah Alam sebelum membina kilang terbesarnya di Tanjung Malim, Perak, beberapa tahun selepas itu.

Impian rakyat Malaysia melihat sendiri kereta nasional pertama negara termakbul apabila Proton Saga dilancarkan pada September 1985 dan mendapat sambutan luar biasa.

Model yang diambil daripada Mitsubishi Lancer Fiore dibangunkan di Shah Alam dan kereta berkenaan mencapai tahap pengeluaran ke-100,000 pada Januari 1989.

Proton pada awalnya menggunakan logo bulan sabit dan bintang berbucu 14 itu hampir 80 peratus menggunakan acuan Mitsubishi tetapi secara perlahan-lahan membentuk rekaan dan alat gantinya sendiri.

Model Iswara yang dilancarkan pada 1992 berciri lebih moden daripada Saga selain memberi perubahan rupa dan sedikit demi sedikit meninggalkan identitii Mitsubishi.

Pada 1993, Proton Wira yang berasaskan model Mitsubishi Lancer dan Colt dilancarkan dan terjual lebih 220,000 unit antara 1996 dan 1998.

Model Proton itu turut dieksport ke luar negara dengan nama Persona.

Kemudian, Proton melancarkan model Putra iaitu kereta sedan sport tiga pintu dan hatchback Satria.

Kedua-dua model berkenaan berpandukan model Mitsubishi Mirage yang popular di Jepun.

Setahun berlalu, Proton melahirkan satu lagi model premiumnya, Perdana juga berasaskan model Mitsubishi iaitu Eterna dan menjadi kereta mewah tempatan paling mahal.

Bermula 1996, Proton meninggalkan bayangan Mitsubishi selepas menguasai Lotus dan membentuk kenderaan lebih terkini berteraskan acuan sendiri.

Akhirnya, Proton Perdana versi enjin V6 2.0 L 16 injap dikeluarkan pada 1999 dengan rekaan baru dan salutan kulit pada bahagian dalamannya.

Pembelian Lotus memberi kelebihan kepada Proton dalam usaha memindahkan teknologi syarikat gergasi itu.

Selepas itu, Proton melancarkan model Tiara, kereta kompak berasaskan Citroen AX yang direka dibawah lesen Proton dari 1996 hingga 2000.

Proton Savvy yang dilancarkan pada 8 Jun 2005 dengan 1,200 cc adalah model gantian Tiara tetapi menggunakan enjin dan kotak gear semi-otomatik daripada Renault.

Model Satria GTi yang berkuasa 1.8 L DOHC yang dilancarkan pada 2000 menjadi kegilaan golongan muda di Australia sehingga mempunyai kelab dan pengikutnya sendiri.

GTi yang menerima suntikan teknologi Lotus itu mendapat reaksi positif dan Proton dilihat mula bergerak sendiri berdasarkan kepada teknologi dari dua benua berbeza.

Waja yang dilancarkan adalah hasil rekaan jurutera tempatan tetapi casisnya berpandukan model Mitsubishi.

Waja turut dikeluarkan dalam versi 1,800 cc tetapi menggunakan enjin Renault.

Proton juga melancarkan model Arena, trak utiliti mini yang juga dipanggil Proton Jumbuck di United Kingdom (UK) dan turut digunakan secara meluas di Australia.

Kehadiran Gen.2 boleh dianggap sebagai kereta pertama Proton apabila menggunakan 100 peratus hasil kejuruteraan tempatan.

Gen.2 adalah pengganti kepada model Wira yang mendapat sambutan hangat lebih sedekad lamanya.

Proton Satria Neo yang dilancarkan pada 16 Jun 2006 dengan versi 1.6 L dan 1.3 L Campro disasarkan kepada golongan muda berjaya mencatat jualan baik.

Terbaru, kelahiran semula Saga memberi nafas baru kepada Proton bersaing dalam arena permotoran global termasuk pengenalan siri enjin Campro sebagai bukti Proton masih gah di jalan raya.

Source: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Vroom/20080422111306/Article/indexv_html

Masih model terbaik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: