Keretapi lingkaran luar…

Berita Utusan Malaysia, Sabtu, 19 April 2008

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 17 April – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membina landasan kereta api di pinggir bandar yang mengelilingi Kuala Lumpur bagi mengelak kesesakan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat berkata, projek ‘khidmat rel lingkaran luar’ sejauh antara 60 dan 70 kilometer itu akan dibangunkan mengikut konsep yang terdapat di Jepun dan United Kingdom (UK).

“Khidmat rel komuter secara bertingkat ini adalah bagi membolehkan mereka yang menetap di pinggir bandar seperti Rawang di sebelah utara tidak perlu lagi masuk ke pusat bandar untuk ke Seremban di selatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat KTMB di sini hari ini.

Khidmat rel dengan landasan bertingkat mengelilingi bandar di Jepun melibatkan laluan Yamanote melalui kawasan perniagaan seperti Shinjuku, Tokyo dan Akihabara manakala di UK adalah di bawah tanah sejauh 408 kilometer mengelilingi bandar London.

Tee Keat berkata, cadangan itu melibatkan laluan Sentul-Kepong atau Sungai Buloh-Kelana Jaya – Batu Tiga – Sri Petaling – Bandar Tasik Selatan – Cheras – Ampang – Terminal Putra di Gombak – Sentul Timur – Batu Caves – Sentul.

“Landasan ini akan bersambung dengan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Putra di Stesen Kelana Jaya dan Terminal Putra, LRT Star di Stesen Sri Petaling dan Ampang dan perkhidmatan KTMB di Stesen Batu Tiga, Bandar Tasik Selatan dan Sentul.

‘‘Kos dan tempoh siap belum dapat diputuskan lagi kerana cadangan ini masih di peringkat penelitian oleh kementerian kerana ia baru diserah semula beberapa hari sebelum barisan Kabinet diumumkan,’’ jelasnya.

Cadangan itu pernah dikemukakan KTMB pada tahun 2004 tetapi tiada sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata, cadangan projek itu juga perlu dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perkhidmatan Awam untuk kelulusan.

Mengenai perkhidmatan kereta api komuter dari KL Sentral ke Ipoh, beliau berkata, ia hanya akan beroperasi pada tahun 2010 kerana KTMB masih menunggu koc baru disiapkan oleh syarikat pengeluar.

“Berikutan landasan berkembar telah siap, maka KTMB telah menambah kekerapan tren antara bandar, Ekspres Rakyat dari Kuala Lumpur ke stesen-stesen di utara tanah air,” katanya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0418&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_04.htm&arc=hive

to be coontinued…

Juga berita Berita Harian, tapi tak tahu bila…

Utara: Kedah janji bantu projek kereta api

ALOR STAR: Kerajaan Pas Kedah memberi jaminan akan memberikan kerjasama sewajarnya bagi memastikan Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar yang melalui negeri ini, siap mengikut jadual.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, berkata syarikat yang melaksanakan projek itu, MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd (MMC-Gamuda) dengan kerjasama kerajaan negeri sedang mengenal pasti penduduk yang terpaksa dipindahkan bagi membolehkan projek itu dilaksanakan.

Katanya, mengikut kajian awal, kira-kira 700 penduduk setinggan perlu dipindahkan kerana mereka sebelum ini membina rumah di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

“Penduduk setinggan membabitkan kediaman dijangka diberikan pampasan RM1,000 selain kadar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh dua tahun sebelum diberi keutamaan memiliki rumah kos rendah.

“Selain itu, kita sedang mengkaji untuk memindahkan kuil dan tokong yang dibina di atas rizab berkenaan dan kajian mendapati tiada surau atau masjid terbabit.” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Azizan berkata, kerajaan negeri turut diberikan taklimat mengenai projek itu oleh Konsortium Gamuda-MMC serta KTMB, semalam.

Projek landasan berkembar itu yang panjangnya 329 kilometer dan menelan belanja RM12.485 bilion dijangka siap pada 2013.

Projek itu dimulakan selepas Kerajaan Pusat memutuskan menyambung semula projek berkenaan Januari lalu dan sehingga kini sudah siap lima peratus.

Januari lalu, Kerajaan Pusat memutuskan untuk menyambung semula Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar selaras dengan dasar memajukan Utara Semenanjung melalui inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Apabila projek landasan berkembar itu siap sepenuhnya, Malaysia akan mempunyai landasan berkembar kereta api dari Johor Bahru ke Padang Besar sejauh 635 km.

Source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/EdisiWilayah/20080414073014/Article/

to be continued…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: