Menenangkan jiwa
Ada pelbagai cara untuk kita menenangkan jiwa yang sedang gundah. Ada yang memilih untuk semakin dekat dengan Yang Maha Pencipta. Ada yang pergi bercuti. Ada yang berkurung. Ada yang mengurangkan bercakap. Ada pula yang minum arak…! Nauzubillah (Jika anda seorang Muslim yang Mu’min).
Secara peribadi saya sukakan pilihan pertama dan pilihan kedua seperti yang saya catatkan di atas. Pergi bercuti meninggalkan sementara kesibukan kerja sambil mendekatkan lagi diri dengan Tuhan yang Maha Esa. Pilihan ini membolehkan kita berpeluang untuk merehatkan seketika akal fikiran yang selama ini sesak dengan tugas-tugas di pejabat disamping berupaya merenung diri sendiri, semakin jauhkah aku dengan Tuhanku?
Sehebat mana pun seseorang manusia itu, jika dia di dalam kesusahan, dan pada waktu itu pula tiada sesiapa di sisinya yang boleh memberikan pertolongan, ingatlah bahawa Allah SWT sangat dekat. Malah lebih dekat lagi berbanding urat di leher kita (Maksud surah Qaaf, ayat 16).
Pada malam ini, ketika hati saya sedang gundah, resah dan marah, petikan lagu seperti di bawah selalu terngiang-ngiang.
Hatiku digirisnya lagi…
Kali ini lebih dalam dan pedih….
Kerna aku sudah berjanji….
Dia cinta ku yang terakhir…
Sungguh tak pernah ku menduga….
Dia akan mengulanginya semula…
Namun untuk menodai cinta…
Dan membiarkan aku sengsara…
Untuk pergi bercuti, ekonomi masih belum stabil. Maka saya tinggal sahajalah di rumah. Membaca dan berehat. Insya-Allah, akan saya habiskan membaca surah At-Taubah walau tidak berupaya merenung makna ayat-ayatnya, memahami asbab turunnya dan mengambil iktibar daripadanya. Jika ada kemampuan, saya akan dapatkan juga satu set lengkap tafsir Al-Munir karya Prof Dr Wahbah Az-Zuhaily.
Mudah-mudahan selepas musibah yang menyempitkan dada ini, akan ada kesenangan. Daripada Allah aku datang, kepadanya Aku akan kembali.
Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku ini. Hilangkanlah gundah di hatiku ini. Sejukkanlah ia seperti sejuknya air wudu’ tatkala membasahi anggota tubuhku. Dekatkanlah aku pada-Mu. Bersihkanlah hatiku.

No trackbacks yet.